Tuesday, August 04, 2015
Ahli UMNO Diingatkan Jangan Beremosi
Penyokong pemimpin UMNO yang digugurkan daripada barisan kabinet pada
Selasa lepas diminta menghormati keputusan yang dibuat Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu.
Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Pahang Datuk
Dr Abdul Halim Mansor berkata keputusan merombak kabinet sudah pasti
dilakukan secara berhemah, dan bukannya suatu yang boleh difikirkan
secara 'ad hoc'.
"Perdana Menteri tentu telah memikirkan baik buruk rombakan yang
dilakukan kerana perkara itu melibatkan isu pentadbiran negara. Dalam
masa yang sama pemimpin yang digugurkan ini, sudah pasti ada penyokong
tersendiri.
Namun penyokong ini, jika terguris dengan keputusan pemimpin mereka
digugurkan, kena tenang dan jangan emosi. Fikir secara berhemah dan
utamakan survival parti. Parti yang harus diutamakan," katanya Isnin.
Bernama melaporkan beliau berkata demikian ketika diminta mengulas
tentang pelbagai status yang dimuat naik di laman sosial yang menyerang
kepimpinan perdana menteri sejurus beliau mengumumkan pengguguran
Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri
Mohd Shafie Apdal daripada kabinet.
Abdul Halim juga berpandangan 'cakap-cakap' yang timbul selepas rombakan
kabinet itu adalah rentetan daripada beberapa isu di Malaysia yang
sedang hangat diperkatakan, termasuk yang mengaitkan nama perdana
menteri.
Bagaimanapun, beliau berpendapat adalah wajar untuk semua pihak bersabar
dan menunggu sehingga isu itu disiasat dan diselesaikan mengikut cara
yang betul, dan bukannya mempercayai apa yang tersebar di media,
termasuk laman media sosial.
Mengulas mengenai perlantikan empat muka baharu dalam barisan kabinet
yang diumumkan Najib pada Selasa lalu, Abdul Halim menyifatkan perkata
itu sebagai biasa dan asam garam politik menggantikan yang baharu.
"Jika tidak diberi peluang kepada muka baharu, bagaimana mereka mahu
'matang'? Dalam politik, yang lama tidak semestinya pergi kerana mereka
tidak baik, tetapi kerana mereka ini memberi peluang kepada yang baharu
untuk belajar.
Yang baharu sudah pasti lebih bertenaga, bersedia untuk belajar dan
berkhidmat serta akan melakukan sehabis baik kerana mereka tahu mereka
kini berada di bawah pemerhatian," katanya.
Bagi bekas Yang Dipertua Mubarak Pahang pula, Datuk Seri Abdul Jabbar
Ibrahim berkata barisan kabinet baharu yang diumum Najib kini menggalas
tanggungjawab berat untuk membuktikan kepada rakyat bahawa mereka boleh
bekerja dan bertanggungjawab ke atas jawatan yang telah diamanahkan.
"Jangan mula-mula sahaja berjanji itu ini kepada rakyat, kemudian
senyap. Kita juga berharap anggota kabinet yang baharu tidak mendabik
dada.
Jangan lupakan jasa pihak yang lama. Mana yang baik jadikan teladan, mana yang tidak, elok diperbetulkan," katanya.
Abdul Jabbar berkata sebagai pemimpin mereka juga perlu menerima teguran
yang disuarakan oleh mana-mana pihak khususnya rakyat dengan hati yang
terbuka demi kebaikan semua pihak.
"Kepada pemimpin-pemimpin, kritikan kena dengar walau dari peringkat
akar umbi sebab kuasa memilih terletak di tangan rakyat. Tidak guna
pengundi ada berjuta-juta tetapi tidak ikhlas memperjuangkan hak
rakyat," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment