Thursday, August 06, 2015
Beraninya Dia Ni....Pimpinan GHB Sedia Digugurkan PAS - Siti Mariah
SHAH ALAM : Kumpulan progresif PAS yang menyertai Gerakan Harapan Baru
(GHB) terbuka dengan apa sahaja tindakan yang bakal diambil terhadap
mereka, termasuk digugurkan keahlian, demikian menurut Dr Siti Mariah
Mahmud.
Namun begitu, Ahli Parlimen Kota Raja itu bertegas sebarang tindakan
yang akan ditentukan PAS pada Sabtu ini perlulah berdasarkan lunas
perlembagaan parti itu.
"Saya bersedia dengan apa pun kemungkinan. Soalan saya apakah yang
paling teruk akan diambil terhadap kita? Mati kan? Adakah mereka nak
hukum bunuh terhadap kami?
"Mereka (PAS) kena melalui proses parti, tindakan disiplin di dalam PAS.
Mereka tak boleh gugurkan kami dan halang kami begitu sahaja, kena ada
perbicaraan iaitu proses keadilan," katanya ketika dihubungi Antarapos,
hari ini.
Siti Mariah mengulas mesyuarat yang akan diadakan oleh PAS Pusat, Sabtu
ini bagi membincangkan tindakan disiplin yang akan dikenakan terhadap
kesemua pimpinan dan ahli parti itu yang menyertai GHB.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memberitahu kepimpinan
tertinggi parti kini sudah menerima laporan daripada setiap badan
perhubungan negeri berkenaan penglibatan ahli-ahli di dalam gerakan itu.
Sementara itu apabila ditanya apakah tindakan itu kelak akan menjejaskan
perjalanan GHB, Siti Mariah bertegas pimpinan gerakan amat komited
dengan hala tuju politik Islam yang baru menerusi gerakan itu.
"Kita kena teruskan, itulah keyakinan kita bahawa kita perlukan satu
parti politik alternatif Islam. Seperti yang Presiden (PAS) sebutkan,
semuanya di dalam ilmu Allah, Dia yang mengetahui segala-galanya, dan
kita sebagai manusia berusaha atas nawaitu dan keyakinan kita demi
Islam.
"Pesan (Allahyarham) Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dahulu, apabila
bercakap kena bercakap hal Islam, bukan PAS. Jika mereka yakin kepada
Islam, maknanya mereka juga akan sokong bila kita buat yang betul untuk
Islam," terangnya lanjut.
Umum mengetahui GHB ditubuhkan oleh kumpulan progresif PAS atau dikenali
sebagai G-18 selepas mereka tewas di dalam Muktamar PAS Kali ke-61 pada
Jun lalu.
Dipengerusikan oleh bekas Timbalan Presiden PAS iaitu Mohamad Sabu, GHB
juga dianggotai oleh Sallahuddin Ayub, Mujahid Yusof Rawa, Dr Dzulkefly
Ahmad, Hanipa Maidin, Khalid Samad, Siti Mariah Mahmud, Dr Hatta Ramli
dan Ahmad Awang.
GHB turut menjadikan perjuangan utama PAS iaitu hudud sebagai sebahagian
agenda utama gerakan berkenaan, selain mahu memainkan peranan penting
dalam menyatu-padukan parti-parti politik pembangkang di negara ini.
DAP dan PKR juga sebelum ini juga tidak menafikan mengadakan
perbincangan beberapa kali dengan GHB bagi membentuk Pakatan Rakyat 2.0.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment