Thursday, August 06, 2015

GHB: Raja Kamarul Minta Penjelasan PAS Kuala Terengganu Sebelum Jawab Tuntutan

SHAH ALAM : Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad meminta PAS kawasan berkenaan terlebih dahulu memberikan penjelasan berhubung arahan 'putus hubungan' yang dikeluarkan kepadanya.

Raja Kamarul membuat gesaan ini sebelum menjawab tuntutan mereka yang mahukan beliau mengisytiharkan diri 'bebas' daripada  Gerakan Harapan Baru (GHB).

Ini kerana ujarnya, PAS Kuala Terengganu mengambil tindakan tergesa-gesa tanpa mendapat penjelasan terlebih dahulu sebelum menjatuhkan 'hukuman', yang dakwanya dilihat berunsurkan sabotaj.

"Saya cuma mahu tanya PAS kawasan, daripada saat pengumuman telah dibuat di Besut oleh Dr Hatta Ramli, di mana saya tidak ada di pentas dan saya tak berucap pun.

"PAS Kuala Terengganu bersidang keesokan hari, dan menjatuh hukuman, mengeluarkan arahan memboikot dan menyisih saya dalam tempoh kurang 24 jam tanpa memanggil dan beri notis kepada saya untuk memberi apa-apa pembelaan.    

"Apa motif sebenarnya tergesa-gesa..Apakah hukuman boleh dijatuhkan kepada orang yang tak pernah dipanggil membela diri. Itu saja saya nak tanya. Kalau mereka jawab itu, saya boleh jawab yang seterusnya," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.

Terdahulu, PAS Kuala Terengganu memutuskan hubungan dengan Raja Kamarul susulan dirinya diisytiharkan secara rasmi sebagai Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) negeri Terengganu sepertimana yang telah diumumkan dalam himpunan GHB pada 31 Julai di Besut.

PAS Kuala Terengganu menerusi kenyataan Setiausahanya, Mohd Soud @ Said @ Mat Ali juga mengarahkan ahlinya agar tidak menjalinkan apa jua bentuk kerjasama dengan Ahli Parlimen berkenaan.

Dua hari selepas arahan itu, PAS kawasan berkenaan memberi tempoh 14 hari untuk Raja Kamarul mengisytiharkan dirinya 'bebas' daripada sebarang penglibatan dengan GHB.

"Tiap-tiap pelantikan mesti disertai dengan surat, tambahan pula pengerusi (GHB) negeri. Takkan nak buat seperti kedai kopi. Surat pun saya belum terima, dan saya pun belum jawab. Itu saya tanya," kata Raja Kamarul mengulas mengenai pengisytiharan dalam parti serpihan PAS itu.    

Malah Raja Kamarul juga mempersoalkan tindakan PAS kawasan berkenaan yang 'mengheret' akar umbi dalam tindakan yang dikenakan terhadapnya.

"Adakah akar umbi tahu cara keputusan itu dibuat secara tergesa-gesa tanpa saya dipanggil untuk beri penjelasan atau pembelaan," ujarnya.

PAS Pusat akan bermesyuarat pada Sabtu ini bagi membincangkan tindakan disiplin yang akan dikenakan terhadap anggota parti itu yang bergiat dalam GHB.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kepimpinan tertinggi parti  menerima laporan daripada setiap badan perhubungan negeri berhubung penglibatan anggotanya dalam gerakan itu. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment