Monday, August 03, 2015

Dalam UMNO Banyak Kaki Cucuk, Kaki Kipas dan Kaki Bakar.. - DS Zahid Hamidi

Semua anggota UMNO diingatkan supaya menjauhi budaya politik 'sate' agar survival parti itu terus kukuh dalam persada politik negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui semalam berkata, mereka yang didapati sama ada sebagai tukang cucuk, tukang kipas atau pun tukang bakar itu sama sekali tidak boleh wujud dalam UMNO kerana akan menjadi antara punca kepada perpecahan dalam kalangan anggota sekali gus merosakkan parti.

Menurut beliau, anggota UMNO sepatutnya mencontohi semangat dan prinsip yang dibawa oleh Timbalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meneruskan perjuangan dalam parti meskipun telah digugurkan daripada Jemaah Menteri.

"Tetapi jangan ada yang jadi tukang cucuk, jangan jadikan politik seperti sate dan lebih teruk bila ada tukang kipas," kata Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kepong, di Kuala Lumpur, semalam.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua UMNO Bahagian Kepong, Datuk Rizuan Abd Hamid.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO dalam pada itu berkata, dalam politik hari ini, keserasian perlu dipertingkat supaya terdapat kesinambungan antara kepimpinan di setiap peringkat.

Beliau menambah, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO sedang diuji ketika ini di mana cubaan pembangkang membawa pelbagai isu yang bertujuan untuk memporak-perandakan keadaan.

Jelasnya lagi kepada pemberita, semua kepimpinan UMNO di setiap peringkat diminta memberi penghormatan terhadap pendirian Muhyiddin untuk terus kekal bersama parti.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau meyakini Muhyiddin sebagai pejuang sejati UMNO akan mengotakan janjinya untuk terus kekal sebagai Timbalan Presiden UMNO, dan tidak sesekali bersekongkol dengan pembangkang termasuk tidak menyokong sebarang usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan kerajaan menerusi Persidangan Dewan Rakyat.

"Saya sebagai Naib Presiden akan terus sokong pegangan beliau (Muhyiddin) dan memohon kepada semua kepimpinan di peringkat akar umbi bahagian, negeri atau nasional menghormati pendirian itu," katanya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment