Monday, August 03, 2015

Kerajaan Selangor Digesa Perjelas Dakwaan Salah Urus Tadbir Wang Zakat

3 Ogos 2015, Kuala Lumpur : Kerajaan Selangor dituntut memberikan penjelasan berhubung pengagihan wang zakat negeri berkenaan yang didakwa tidak menerusi saluran yang sepatutnya iaitu menerusi Lembaga Zakat Selangor.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Zainuri Datuk Zakaria berkata perkara itu yang dibangkitkan oleh Penyelaras Barisan Nasional (BN) Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan, sebelum ini memerlukan penjelasan lebih lanjut agar ianya tidak menimbulkan salah tanggapan dan sebagainya.
zakat-selangor
Menurut beliau dakwaan berkenaan bahawa tindakan kerajaan Selangor memperuntukan bantuan zakat berjumlah RM5 juta yang didakwa disalur menerusi ketua-ketua cabang PKR adalah satu dakwaan yang cukup berat.

“Soalnya di sini mengapakah ianya tidak diurus tadbir menerusi saluran yang sepatutnya. Ini adalah wang zakat yang dibayar oleh umat Islam untuk kepentingan dan kegunaan mereka-mereka yang memerlukan.

“Jadi sewajarnyalah kerajaan negeri mahu pun pihak-pihak yang berkaitan tampil ke depan memberikan penjelasan berhubung bantuan zakat itu dan cara agihan yang telah dilakukan. Belum terlambat lagi rasanya pihak-pihak berkaitan berbuat demikian.

“Ini boleh menimbulkan pelbagai persoalan dan boleh menimbulkan pelbagai tanggapan kepada kerajaan negeri. Kami amat berharap dakwaaan ini diberikan penjelasan sebaik mungkin,“ katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Perkara itu dibangkitkan sebelum ini oleh Penyelaras Barisan Nasional (BN) Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan, yang berkata bahawa tindakan kerajaan Selangor memperuntukan bantuan zakat berjumlah RM5 juta yang didakwa disalur menerusi ketua-ketua cabang PKR amat meragukan.

Mat Nadzari mempertikai mengapa kerajaan Selangor menerusi anak syarikatnya, Darul Ehsan Investment Group (DEIG) tidak menyalurkan bantuan zakat itu menerusi LZS atau secara terus kepada kerajaan negeri yang terlibat.

“Dakwaan yang mengatakan bantuan itu disalurkan kepada ketua-ketua cabang perlu disiasat. Ini kerana, tindakan ini seperti usaha ada udang di sebalik batu. Kita tidak mahu ada elemen salah laku untuk kepentingan politik,” katanya kepada FMT.

Zainuri seterusnya menambah tidak salah menyalurkan bantuan dan sebagainya hasil kutipan zakat kepada mereka yang memerlukan dan layak menerima bantuan tersebut.

“Cumanya penjelasan sewajarnya yang diperlukan. Kalau betul dan benar disalurkan kepada mereka yang memerlukan Alhamdulillah…Itulah yang sebaiknya. Namun apa pun penjelasan amat diperlukan oleh rakyat untuk mengelakkan salah tanggapan dan sebagainya untuk kepentingan semua pihak,” ujarnya.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment