Sunday, August 09, 2015
Lepas Diberi Mandat, Kepimpinan Ulama PAS Jadi “Bacul”?
Petang tadi, seorang sahabat yang
merupakan seorang aktivis PAS di Kedah menghantar satu kenyataan Adun
Hulu Kelang, Shaari Sungib yang terang-terangan menghina dan berlaku
biadap terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Sebagai pandangan ‘Otai
Reformasi’ kita rasa tidak perlu menjalinkan kerjasama dengan PAS, demi
menjaga konsisten dan kita tidak mahu ada kekeliruan.
“Kerana kita lihat pendirian
parti Islam itu sendiri tidak jelas, presidennya dilihat kadang kala
membuat kenyataan memihak kepada presiden Umno,” – Shaari Sungib.
Marah benar bunyinya sahabat saya itu
terhadap Shaari dan menggesa supaya Adun PAS yang digantung keahlian
parti itu dipecat dan digugurkan keahliannya serta merta. Saya hanya
menjawab padanya bahawa “saya bukanlah anggota jawatankuasa tatatertib
PAS” untuk bertindak seperti yang dia mahukan.
Justeru itu, saya mengesyorkan pada
sahabat berkenaan supaya membuat satu laporan bertulis secara rasmi
kepada jawatankuasa tatatertib PAS untuk mengambil tindakan terhadap
“penderhaka” PAS tersebut.
Begitulah yang berlaku di dalam PAS
sekarang. Di sebalik ketidaktentuan dan huru-hara politik negara yang
diporak-perandakan oleh pihak tertentu, PAS masih lagi “sakit tenat” di
mana Presiden dan barisan kepimpinan barunya seolah-olah “takut”
bertindak terhadap “syaitan” yang merosakkan jemaah mereka dari dalam
selama ini.
Dalam pemerhatian saya, UMNO dan PAS kini
dalam agenda “pembersihan”. Abdul Hadi dan Mohd Najib kini sedang
bertungkus-lumus memperkukuhkan parti dan kedudukan sebagai Presiden
parti masing-masing.
Perkara ini pernah dilakukan oleh bekas
Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu beliau berdepan dengan
masalah pepecahan parti akibat krisis beliau dengan Tengku Razaliegh
Hamzah suatu ketika dahulu yang menyebabkan UMNO berpecah teruk.
Kedua tokoh pemimpin tertinggi parti
Melayu Muslim ini sedang sama-sama mempraktikkan usul “fiqh mentaati
pemimpin”. Bagi mereka yang faham tentang prinsip siyasah Islam ini,
maka fahamlah mereka tentang maksud yang saya katakan ini.
Cuma, saya agak ralat apabila Abdul Hadi
seolah-olah tidak berani untuk berlaku sebagai “anak jantan” dan lebih
memilih untuk “play safe” untuk tidak membuat keputusan memecat semua
pemimpin PAS yang terlibat dalam Gerakan Harapan Baru (GHB).
Dalam kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man
baru-baru ini, PAS lebih cenderung untuk bersikap “tunggu dan lihat”.
Pada pandangan mereka, tindakan itu dilihat sebagai “lembut” dan lebih
menjurus ke arah “memujuk”.
Soalnya, jika sampai ke tahap “tunggu
dipecat parti” dan sewenang-wenangnya berlaku biadap secara terbuka
terhadap Presiden dan PAS sendiri tanpa rasa bersalah, apakah relevan
lagi dengan tindakan “berlembut”?
Apakah PAS yakin pemimpin PAS di dalam
GHB itu akan termakan pujuk rayu PAS itu lagi sedangkan mereka telah
dijanjikan “bulan dan bintang” oleh DAP dan PKR? Saya negatif dalam
pendekatan PAS itu.
Berani PAS mengambil risiko memecat para
pemimpinnya seperti yang pernah dilakukan Tun Dr Mahathir dan Mohd
Najib? Atau PAS lebih memilih untuk bertindak bacul dengan membiarkan
“syaitan dalam jemaah” itu bermaharajalela.
Saya tidak fikir PAS akan berjaya memujuk
puak GHB kembali pada perjuangan PAS. Sebaliknya, saya agak khuatir
jika GHB yang akan “mencuri” lebih ramai ahli dan penyokong PAS untuk
menyertai mereka sekiranya “barah” seperti itu dibiarkan sebagaimana
sekarang.
Justeru itu, saya menyarankan supaya PAS
tidak lagi bersikap “tunggu dan lihat” yang akan dilihat sebagai
“bacul”. Beranilah sedikit dalam usaha memperkukuhkan parti sebagaimana
yang pernah dilakukan Tun M dan Mohd Najib. Itu pun kalau PAS masih ada
“telur”lah.
Wallahu’alam.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment