Sunday, August 09, 2015

Macamana Boleh Bocor..... Itulah Orang Marah Tu!!!! Polis Tangguh Siasatan Kes Kebocoran Maklumat Babitkan SPRM - KPN

GEORGE TOWN : Polis akan menangguhkan sementara siasatan melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes kebocoran maklumat yang disiar dalam portal Sarawak Report, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, walaupun lebih ramai lagi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan, kes itu ditangguh untuk mengelak pelbagai andaian dan persepsi awam.

"Dengan berbagai andaian yang dibuat dan persepsi, saya telah mengarahkan supaya kita tangguhkan sementara (siasatan kes itu)," katanya pada sidang akhbar di sini, Sabtu.

Ditanya sampai bila siasatan kes itu akan ditangguh, Khalid berkata: "Kita tengoklah...saya tidak mahu rakan-rakan saya di SPRM menganggap kami membuat harrassment (penderaan)".

Mengulas lanjut mengenai kes siasatan terhadap pegawai-pegawai kanan SPRM dan rampasan fail-fail serta komputer agensi itu, Khalid berkata, polis hanya menjalankan tanggungjawab untuk menyiasat berdasarkan laporan polis yang diterima.

Khalid berkata, polis tidak sekali-kali berniat untuk mengganggu apa juga siasatan yang dilakukan apatah lagi menyasarkan mana-mana institusi lebih-lebih lagi SPRM.

"Kami pula tidak ada pilihan, kami tidak boleh membuat siasatan pilihan,  kami tak boleh buat macam tu...apabila kami mendapat laporan kami terpaksa menjalankan tanggungjawab kami tambahan pula ini satu laporan yang amat serius.

"Kami perlu lengkapkan siasatan itu dan menyerahkan kepada peguam negara biar beliau yang membuat keputusan.

"Pertuduhan ini bukan dilakukan oleh satu institusi tetapi oleh individu-individu yang kami cari yang kami perlu siasat...saya tidak mahu bermasam-masam muka antara PDRM dan SPRM kerana ini sesungguhnya tidak baik untuk negara, untuk pasukan penguat kuasa," katanya.

Khalid berkata, apa yang dilakukan oleh polis adalah mengikut peruntukan undang-undang dan sebarang rampasan barang-barang bagi membantu siasatan merupakan asas dalam siasatan polis. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment