Wednesday, August 05, 2015
Mahathir Mencatur Demi Rakyat Atau Mencatur Untuk Agenda Tertentu?
EDITOR MENULIS...
5 OGOS 2015
Sebelum Datuk Seri Najib Tun Razak mengemudi negara sebagai Perdana
Menteri, Malaysia telah mempunyai 5 orang Perdana Menteri dan
kelima-lima tokoh tersebut sudah tentu mempunyai sejarah yang
tersendiri.
Tidak dinafikan bahawa masing-masing dari mereka telah diduga dengan
pelbagai tohmahan dan tuduhan kontroversi yang sedikit sebanyak mencemar
nama baik mereka sebagai pemimpin nombor satu negara.
Sebagai contoh, Tun Dr Mahathir pernah terpalit dengan pelbagai
kontroversi membabitkan Perwaja, skandal Bank Negara dan banyak lagi
hingga menyebabkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang pernah menuduh bahawa
skandal kewangan negara mula terjadi sejak di zaman beliau.
Sama seperti Tun M, Tun Abdullah Ahmad Badawi pun menerima nasib yang
sama. Walau dilabel sebagai "Mr. Clean" ketika menjawat jawatan Perdana
Menteri, namanya turut terpalit dalam pelbagai kontroversi. Malah nama
keluarga beliau seperti menantunya, Khairy Jamaluddin turut dikaitkan.
Saya masih ingat lagi tentang MV Augusta, ECM Libra "geng tingkat 4"
dan banyak lagi perkara yang digunakan pihak tertentu untuk menjatuhkan
Pak Lah ketika itu. Ketua yang menjatuhkan Pak Lah siapa lagi kalau
bukan Tun M sendiri.
Beliau yang menaikkan dan beliau jugalah yang menjatuhkan. Seolah
mencatur bidak cuba mempercepatkan giliran seseorang untuk menjadi
Perdana Menteri. Namun seperti biasa, lagaknya tetap bagai "suci" tidak
terpalit sebarang skandal. Padahal...
Dan kini giliran Najib pula? Najib diserang siang dan malam tanpa rasa
jemu, apatah lagi rasa bersalah. Kononnya bertanya, tapi nampaknya
seperti menuduh. Malah Tun M sendiri mengaku beliau sememangnya mahu
menjatuhkan Najib.
Kononnya demi "rakyat", benarkah? Jika ikhlas demi rakyat atau demi
UMNO, saya yakin tindakan yang beliau lakukan terhadap Najib itu sama
sekali tidak wajar. Pada saya, tindakan Tun M hanyalah untuk
menjatuhkan Najib, menaikkan namanya seolah "suci" dan memburukkan imej
UMNO di mata rakyat.
Jadi, tidak hairanlah ramai ahli dan pemimpin UMNO tulen yang
menyalahkan Tun M seandaikan UMNO dan BN tewas pada PRU ke-14 nanti.
Mungkin benar Najib terima sumbangan berbilion ringgit dari mereka yang
menyokong kerajaan BN di luar sana. Dan mungkin benarlah bagai dikata
bahawa wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun di atas nama Mohd Najib
Tun Razak.
Namun penafian Tun M yang mengatakan beliau telah menyerahkan wang
berjumlah RM200 juta kepada Pak Lah ketika melepaskan jawatan itu juga
seolah membuktikan beliau 'kantoi' menggunakan akaun di atas nama
beliau, bukan?
Maksud saya, jika benar wang sumbangan itu dimasukkan ke dalam akaun
amanah UMNO, apakah beliau perlu menyerahkan wang tersebut pada Pak Lah?
Sekiranya wang itu di dalam akaun amanah UMNO, beliau hanya perlu
menukar namanya kepada nama Pak Lah saja pada akaun tersebut, bukan?
Tidak perlu pun diserahkan wang itu pada Pak Lah.
Tapi, kata Tun M, beliau serahkan wang, bukan tukar nama, bukan?
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak mengeluarkan kenyataan maka
buruk padahnya bila 'kantoi' sebegitu, bukan?
Pada pandangan saya, memandangkan segala jawapan logik, bernas dan
berfakta telah diberikan padanya, namun beliau tetap menolak dan enggan
mengaku kalah, maka mungkin kerana itu beliau tetap mahu terus
menegakkan benang yang basah.
Mahu mengaku salah terasa malu pula kerana pertanyaan yang berunsur
tuduhan itu bersumberkan fakta yang diubahsuai. Hendak tarik balik
kenyataan mahu menjatuhkan Najib, terasa terlalu besar pula egonya untuk
beberbuat demikian. Padanlah beliau menolak apa saja jawapan yang
diberikan.
Sampai ke tahap ini, saya yakin bahawa mereka-mereka yang tidak yakin
pada Najib itu bukanlah berniat untuk mencari kebenaran. Sebaliknya
mereka-mereka itu berkemungkinan bertujuan untuk menggulingkan Najib
dari jawatan Perdana Menteri. Itu saja motif mereka.
Selagi Najib tidak lepaskan jawatan Perdana Menteri, mungkin selagi
itulah mereka akan menyerang beliau. Selepas Najib turun, maka puaslah
hati mereka. Namun selepas itu, mungkin mereka sendiri akan kelam-kabut
bila wujud perebutan di kalangan mereka untuk duduk di kerusi Perdana
Menteri.
Saya melihat, ada juga yang terpengaruh dengan permainan politik yang
dicatur pihak tertentu itu. Tapi jika fakta tiada dan hanya bersandar
pada fakta rekayasa dari Sarawak Report, saya yakin mereka akan malu
suatu hari nanti. Jika tidak di dunia, mungkin di akhirat kelak.
Apapun, saya menunggu tika dan saat kebenaran didedahkan oleh Pasukan
Petugas Khas. Jika terbukti tiada kesalahan pada Najib, tahulah apa
yang akan saya hendak buat nanti, bukan? Hingga itu, kita bersabar
dulu...
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment