Thursday, August 06, 2015

Menteri KPDNKK Berikrar Akan Perangi Penjualan Telefon Bimbit Tiruan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hamzah Zainuddin menegaskan pihaknya akan membanteras penjualan telefon bimbit tiruan habis-habisan.

Hamzah berkata, pihaknya kini akan membuat serbuan terhadap premis perniagaan secara senyap-senyap dan tidak akan menggunakan lagi langkah untuk membuat pemeriksaan premis kerana ia akan membuatkan pemilik premis lebih bersedia.

Oleh itu, beliau menjelaskan taktik serbuan secara senyap ini dapat membantu pihaknya membanteras premis yang melakukan penjualan barangan tiruan.

"Dalam serbuan ini, ada yang kita tangkap cuma bezanya kita buat secara senyap-senyap sekarang ini.

"Kalau dulu ada orang beritahu bila kita nak serbu kawasan itu telah ditutup awal. Kali ini kita akan serbu masa kawasan itu tidak ditutup," kata Hamzah.

Hamzah turut memaklumkan pihaknya akan melakukan operasi penyamaran untuk membuat serbuan di sebuah premis tersebut bagi membanteras penjualan barangan tiruan.

Hamzah memberitahu, pihaknya akan melakukan penyamaran dengan menjadi seorang pembeli dengan karakter seperti pak lebai, orang yang senang ditipu, pelajar dan sebagainya.

Justeru itu, Hamzah memberi amaran kepada peniaga agar tidak menipu pembeli dengan hanya melihat karakter pembeli itu senang ditipu kerana ianya mungkin salah seorang anggotanya.

"Kalau ada pak lebai masuk sesuatu kedai itu, jangan ingat dia sekadar pak lebai. Saya nak bagi tahu kepada semua peniaga-peniaga.

"Sebab hari ini mereka telah buat macam-macam cara penyamaran, ada yang pakai jadi pak lebai... macam-macamlah," katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment