Sunday, August 02, 2015
Pas Kelantan Sedang Kenal Pasti Ahli Terlibat GHB - Ahmad
KOTA BAHARU : PAS Kelantan sedang mengenal pasti anggotanya yang terlibat
dalam Gerakan Harapan Baharu (GHB) yang didakwa bakal ditubuhkan pada
September depan oleh sebilangan pemimpin kanan parti itu yang tewas
dalam pemilihan Muktamar Tahunan PAS ke-61 baru-baru ini.
Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata pihaknya mempunyai
'mata dan telinga' di setiap cawangan yang akan memberi laporan kepada
PAS negeri sebelum aduan rasmi dikemukakan kepada Jawatankuasa
Tatatertib PAS Pusat untuk tindakan lanjut.
"Kami sedang memerhati (anggota nak sertai GHB). Kalau ikut perlembagaan
parti, negeri atau dewan-dewan boleh melapor kepada PAS pusat apabila
ada anggotanya telah melakukan sesuatu perlanggaran akhlak dengan parti
dan Jawatankuasa Tatatertib akan buat keputusan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Hari
Raya Aidilfitri PAS cawangan Kedai Mulong di sini, Jumaat malam.
Pada majlis berkenaan, kira-kira 100 anggota PAS cawangan yang diketuai
Ketua PAS cawangan Kedai Mulong, Mohamad Abdullah turut melafazkan ikrar
taat setia untuk terus bersama-sama dan mengukuhkan perjuangan parti.
Khamis lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipetik sebagai
berkata PAS akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pemimpin dan
anggota parti itu yang menghadiri siri jelajah anjuran Gerakan Harapan
Baharu (GHB).
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS
berkata PAS Kelantan telah memanggil seorang Yang Dipertua PAS kawasan
yang didakwa terlibat dengan gerakan tersebut pada bulan lepas.
"Kami dah panggil dan beri nasihat (kepada Yang Dipertua PAS kawasan
yang terlibat) sebagai seorang sahabat perjuangan lama. (Bagaimanapun
jika) kami mempunyai cukup maklumat kami akan lapor kepada PAS Pusat
(untuk tindakan lanjut).
Menteri Besar Kelantan itu turut menasihatkan anggotanya untuk tidak
berpaling tadah kerana tiada sebarang perubahan dasar dibuat, manakala
pucuk pimpinan tertinggi juga tidak melakukan sebarang jenayah ataupun
penyelewengan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment