Thursday, August 06, 2015
Pengarah Operasi Khas SPRM Perlu Bersikap Professional Dan Bukannya Emosi Melulu
EDITOR MENULIS...
6 OGOS 2015
Susulan
penangkapan anggota SPRM yang difahamkan terbabit di dalam kebocoran
maklumat berhubung penyiasatan 1MDB, saya agak terkejut dengan
tindakbalas yang diberikan oleh Pengarah Operasi Khas SPRM Datuk Bahri
Mohamad Zin, seperti yang dilaporkan portal pro pembangkang.
“Demi Allah, saya akan mencari
dalang-dalang yang mengarahkan penahanan ini hingga ke lubang cacing”;
begitulah lontaran emosi yang berbaur kesumat dari seorang yang
berpangkat tinggi di dalam sebuah organisasi berintegriti dan penuh
etika professional.
Tentunya ia sangat mengejutkan, mengambil
kira pangkat dan kedudukannya. Kalaulah “emosi” itu lahir dari pelatih
SPRM, mungkin sahaja kita mampu menerimanya, tetapi bukan dari individu
yang berpangkat Pengarah Operasi Khas yang jelas punya pengalaman yang
luas dalam bidangnya.
Rakyat Malaysia yang rasional umumnya
faham dan mengerti, bahawa sebarang tangkapan yang dilakukan oleh pihak
berkuasa adalah modus operandi yang standard. SPRM sendiri sering
mengungkapkan kata-kata seperti “seramai 3 individu telah ditahan untuk
siasatan lanjut”. Siasatan lanjut, bermakna untuk membantu siasatan, dan
bukannya pesalah.
Di dalam istilah perundangan, maksud
“innocent unless proven guilty”. Selagi tidak dibuktikan bersalah, maka
seseorang itu adalah tidak bersalah.
Dalam konteks penahan anggota SPRM juga
tidak terkecuali dari istilah berkenaan. Dan, selaku badan yang sangat
tidak asing dengan prosedur penahanan dan pendakwaan, tindakbalas yang
ditunjukkan adalah sangat tidak munasabah.
Mengapa perlu “sentap” jika memang
anggota-anggota yang ditahan itu tidak bersalah? Acapkali kita mendengar
ungkapan dari pihak berkuasa yang lain, seperti PDRM yang menyerahkan
segalanya kepada siasatan jika anggotanya yang terbabit dengan dakwaan
rasuah.
Mengapa tidak kita terima tindakbalas yang sama dari Pengarah Operasi Khas SPRM?
Apakah penahanan itu bermaksud bersalah?
Amat mendukacitakan untuk seorang
professional yang berpangkat “menari” mengikut tarian Pakatan Rakyat,
yang seringkali menggunakan “penahanan” sebagai satu pembuktikan
kesalahan.
Lebih malang, seorang yang berpangkat
tinggi secara tidak langsung tidak menyuntik sifat amarah dan dendam.
Percayalah, ianya akan mempengaruhi anggota-anggota bawahannya, yang
kemudiannya akan bertindak atas sifat dendam kesumat.
Professionalisma akan hilang, hanya
kerana amalan kebiasaan prosedur operasi standard penahanan oleh
mana-mana pihak berkuasa, termasuklah SPRM yang sering lakukannya atas
rasional “membantu siasatan”.
Pastinya PDRM juga mempunyai maklumat dan
dasar sehingga membawa kepada penahanan anggota-anggota SPRM tersebut.
Begitu juga jika SPRM menahan mana-mana suspek kes, atau memanggil
mana-mana individu untuk memberi keterangan. Bukan sembrono.
Rasanya tidak perlu saya nyatakan
disini akan kes-kes yang melibatkan pegawai-pegawai SPRM sebelum ini.
Informasi di hujung jari, anda carilah sendiri. Tiada istilah “maksum”
buat SPRM.
Penahanan bukanlah bermakna bersalah. Itu
pelajaran untuk kita semua hari ini yang mahu berfikir secara rasional,
bukannya emosi. Artikel ini tidak bermaksud untuk mempertikai
kredibiliti SPRM, tetapi hanyalah luahan seorang rakyat yang dukacita
atas reaksi dari pegawai berjawatan tinggi di dalam Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia.
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment