Thursday, August 06, 2015
Serpihan MH370 Ditemukan 3,700 Km Dari Lokasi Ramalan
5 Ogos 2015, Sydney : Ramalan awal yang menjangkakan Indonesia sebagai lokasi
serpihan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dihanyutkan, dilapor
tidak tepat ekoran penemuan serpihan sayap pesawat di Pulau Reunion,
lokasi yang lebih jauh daripada yang disangkakan.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang mengetuai siasatan
kehilangan pesawat itu dalam kenyataannya berkata, model yang dihasilkan
pada Jun 2014 oleh Persatuan Kajian Industri dan Saintifik Komanwel
Australia meramalkan serpihan pesawat terbabit akan terdampar di
pesisiran pantai barat Sumatera pada minggu pertama Julai 2014.
Tambah ATSB, ramalan tersebut tidak menjadi kenyataan sebaliknya
serpihan pesawat yang dipercayai milik MH370 terdampar di sebuah pulau
terpencil di Lautan Hindi yang mempunyai jarak kira-kira 3,700 kilometer
daripada yang dijangkakan.
“Kesilapan tersebut bagaimanapun tidak menjejaskan usaha pasukan
antarabangsa untuk menjalankan pencarian di permukaan laut di pesisiran
pantai barat Australia.
“Misi pencarian di bahagian permukaan laut ditamatkan pada April lalu,
lebih sebulan selepas pesawat MH370 hilang pada 8 Mac tahun lalu,”
tambah kenyataan tersebut.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Trust
mengesahkan seorang pakar penerbangan dihantar ke Toulouse, Perancis
bagi mengikuti proses analisis serpihan sayap dikenali sebagai flaperon
yang ditemukan di Pulau Reunion.
“Pakar terbabit akan membantu usaha kerajaan Malaysia dan Perancis untuk
mengenal pasti sama ada flaperon yang ditemukan itu merupakan milik
pesawat MH370.
“Kedua-dua pihak terlibat dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi
berhubung status flaperon itu pada hujung minggu ini,” kata beliau.
Dipetik daripada sumber : REUTERS
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment