Tuesday, August 04, 2015
Tahniah Lah... Abby Bakal Nikah Wartawan Harakah 14 Ogos Depan
3 Ogos 2015, Petaling Jaya : Bakal suami Abby Abadi, Muhammad Faizal Zakaria
memberitahu sikap penyayang dan dermawan yang ada pada bekas anggota
kumpulan Elite itu membuatkan dia tertarik hati untuk memperisterikan
wanita berkenaan.
Muhammad Faizal, 41, yang bertugas sebagai wartawan kanan di media
pembangkang iaitu Harakah berkata, sepanjang perkenalan mereka, Abby
sering membantu golongan memerlukan dan dia melihat ia adalah kualiti
paling baik wanita itu.
"Ramai yang tidak tahu Abby sebenarnya seorang penyayang dan sikap suka
membantu dan menderma kepada golongan susah, itu membuatkan saya
tertarik hati kepadanya," kata Muhammad Faizal kepada mStar Online
ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abd Manan, 38, dan Faizal bakal
disatukan sebagai suami isteri pada 14 Ogos ini di Masjid Keramat dekat
sini manakala majlis kenduri kesyukuran akan diadakan pada 16 Ogos.
Dalam pada itu, Faizal berkata, dia tidak pernah menilai Abby
berdasarkan cakap-cakap negatif terhadap bakal isterinya itu sebelum ini
kerana ia tidak adil.
"Saya bukan jenis mudah menilai orang daripada apa yang saya baca atau
dengar dan mengenali Abby dia adalah seorang wanita yang berbeza
daripada apa yang diperkatakan," katanya.
Tambahnya lagi, soal status Abby yang juga seorang janda juga bukan isu
kerana dirinya sendiri sendiri pernah mengalami kegagalan rumah tangga
sebelum ini.
"Saya ada tiga orang anak hasil perkahwinan terdahulu, begitu juga Abby.
Ini adalah jodoh kami dan Insya-Allah ia akan saling melengkapi kami,"
ujarnya.
Mengimbau perkenalan bersama Abby, Faizal berkata, hubungan mereka pada
awalnya sekadar profesional di antara wartawan dan selebriti namun ia
mula berputik selepas kembali bertemu pada akhir tahun lalu.
"Saya seorang wartawan dan banyak membuat follow-up dengan Abby selain
pernah bertemu dengannya ketika menghadiri program yang melibatkannya
atas kapasiti kerja.
"Selepas pilihan raya umum pada 2013 berakhir kami pun tidak lagi
berhubung namun kembali bertemu setahun kemudian dalam sebuah program
pada Disember tahun lalu dan mula rapat sehinggalah mengambil keputusan
untuk berkahwin," jelasnya.
Terdahulu Abby pernah berkahwin dengan aktor, Norman Hakim dan dikurniakan tiga cahaya mata sebelum bercerai pada tahun 2008.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed
Danish Hakim, 12, Marissa Dania Hakim, 10, dan Maria Danisha Hakim yang
berusia tujuh tahun.
Abby kemudiannya bertemu jodoh dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar,
25, pada 2013 sebelum bercerai selepas 11 bulan berumah tangga.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment