Monday, June 06, 2016
Kenapa Musa Hitam Buka Semula Cerita Memali?
Kenapa Tun Musa Hitam membangkitkan semula cerita peristiwa berdarah 
Memali? Peristiwa itu sudah berlalu lebih 29 tahun. Semasa kejadian itu,
 Musa adalah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri 
yang bertanggungjawab kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 
Apabila orang seperti Musa membuka mulut bercerita tentang apa yang 
berlaku pada ketika itu, apa yang beliau katakan tentulah tidak boleh 
dipandang remeh.
Jadi, tanda tanya besarnya ialah kenapa Musa buka semula cerita itu sekarang?
Musa seorang ahli politik yang sangat berpengalaman. Beliau aktif dalam 
politik selama hampir tiga dekad. Di kalangan pemerhati politik, ada 
yang menyifatkan Musa sebagai perdana menteri yang tidak sempat memegang
 jawatan. Musa adalah timbalan perdana menteri pertama dalam kabinet Tun
 Dr. Mahathir Mohamad selama 22 tahun beliau jadi perdana menteri.
Dalam erti kata lain, Musa bukan calang orang. Pengalamannya sangat 
dihormati. Bukan satu rahsia lagi, Musa selalu jadi tempat orang politik
 — yang selalu beliau sebut, dalam bahasanya sebagai orang Johor, 
"penganjur-penganjur" — terutamanya di kalangan generasi baru 
bertanyakan pandangan, pedoman dan nasihat.
Oleh sebab pengalamannya yang luas itu, Musa tentulah sangat arif akan 
kesan politik daripada kenyataannya tentang 'cerita sebenar' peristiwa 
Memali. Untuk berlaku adil kepada Musa, bukan beliau yang menawarkan 
kenyataan itu. Beliau ditanya mengenainya dalam satu majlis diskusi 
anjuran kerajaan negeri Kelantan di Kota Bharu pada 27 Mac lepas. Forum 
itu turut disertai oleh Naib Presiden PAS, Husam Musa.
Kenyataan Musa itu mendedahkan satu perkara: Dr. Mahathir berada di 
dalam negara semasa kejadian Memali dan Musa bukan memangku jawatan 
sebagai perdana menteri. Seminggu selepas kenyataannya dalam forum itu, 
Musa mengeluarkan satu kenyataan media empat halaman pada Jumaat, 2 
April.
Penjelasan
Daripada penjelasan lanjut itu, kita tahu pada hari kejadian Musa 
bersama Pemangku Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Amin Osman mengadap 
Dr. Mahathir. Mohd. Amin memberi taklimat apa yang berlaku. Musa meminta
 Dr. Mahathir menangguhkan lawatannya ke China. Dr. Mahathir membuat 
keputusan tetap mahu ke China kerana ia lawatan negara. Musa memberi 
cadangan mahu membentangkan peristiwa Memali di Parlimen. Beliau juga 
meminta masa 24 jam daripada media untuk mendapatkan gambaran lebih 
tepat dan lengkap. Keesokan harinya, pada 20 November 1985, Musa 
membentangkan peristiwa Memali di Dewan Rakyat dan seterusnya bertemu 
dengan media.
Buku Memali: A Police Remembers tulisan Tunku Muszaffar Shah Tunku 
Ibrahim, bekas Ketua Polis Daerah Baling pada masa kejadian pada 19 
November 1985 yang terbit pada 2011.Apa yang berlaku 29 tahun lalu itu 
tidak seluruhnya diingati lagi oleh rakyat yang umumnya kurang peduli 
dengan sejarah. Ketika terbitnya sebuah buku yang ditulis oleh bekas 
Ketua Polis Daerah Baling ketika itu, Tunku Muszaffar Shah Tunku Ibrahim
 yang terlibat langsung dengan peristiwa itu tiga tahun lalu pun, orang 
tidak begitu ghairah memperkatakannya semula.
Di kalangan generasi muda pun tidak banyak yang tahu bahawa pada suatu 
Selasa dalam bulan November itu, 18 rakyat negara ini terbunuh termasuk 4
 anggota polis dalam satu operasi polis di Kampung Memali di Baling, 
Kedah. Operasi itu adalah untuk menahan Ibrahim Mahmood atau Ibrahim 
Libya yang kemudiannya terbunuh dalam insiden itu.
Apa yang berlaku di Memali pada hari itu juga sebenarnya adalah kemuncak
 daripada rentetan yang bermula hampir setahun sebelumnya. Pada awal 
pagi 2 September 1984, polis melancarkan satu operasi untuk menahan 
Ibrahim. Menurut catatan Tunku Muszaffar Shah, ada arahan khusus 
daripada Musa supaya polis tidak menggunakan kekerasan dan sekiranya ada
 penentangan, mereka hendaklah berundur. Pada awal pagi 2 September itu,
 pengikut-pengikut Ibrahim mempertahankan ketua mereka dan polis 
kemudiannya berundur.
Terkait dengan peristiwa Memali itu ialah kertas putih bertajuk yang 
dikeluarkan oleh kerajaan pada 8 November 1984 bertajuk 'Ancaman 
Terhadap Perpaduan Umat Islam dan Keselamatan Negara'. Kertas putih itu 
dikeluarkan untuk mendedahkan kegiatan anasir, kumpulan dan individu 
tertentu yang menyalahguna serta mengeksploitasikan agama Islam untuk 
kepentingan politik. Peristiwa Memali itu juga terkait dengan apa yang 
disebut dalam kamus politik negara ini sebagai "Amanat Haji Hadi". 
Selebihnya, ia terkait dengan isu hubungan UMNO dan PAS serta peranan 
parti orang Melayu itu dengan hal-ehwal Islam.
Polemik
Musa tidak berniat untuk mencetuskan polemik baru apabila beliau 
membangkitkan semula cerita Memali. Beliau hanya menjawab soalan yang 
ditanyakan kepadanya dan kemudian menjelaskan kenyataannya itu. Beliau 
sedar kenyataannya itu "menjemput pelbagai ulasan dan padangan" yang 
positif dan negatif serta "tohmahan, tuduhan dan fitnah" ke atas 
dirinya. Tetapi dalam kenyataan panjang lebarnya, Musa juga menyebut 
bahawa majlis forum di Kota Bharu itu memberikannya peluang "untuk 
memperbetulkan fakta sejarah akan peristiwa penting" yang melibatkan 
dirinya.
Sejarah yang betul itu penting bagi Musa kerana ia melibatkan nama baiknya.
Sejarah yang betul itu juga penting bagi negara ini dan masa depannya.
Jadi, apakah ertinya pendedahan Musa ini kepada cerita Memali? Inilah 
masanya untuk sejarah itu disemak kembali. Menyemak sejarah itu adalah 
usaha melawan lupa. Tetapi dalam hal Memali ini, ia bukan saja usaha 
melawan lupa. Ia juga melawan tidak tahu: Apakah sebenarnya yang terjadi
 pada hari berdarah itu?
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment