Monday, October 12, 2009

Pemuda Mahu Bagan Pinang Dijadikan Momentum Permulaan Kemenangan BN

Kuala Lumpur - Pemuda UMNO menyifatkan sokongan ketara terhadap Barisan Nasional (BN) di semua saluran khususnya di saluran muda pada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang sebagai satu petanda baik yang mesti terus dipertahankan.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata pihaknya cukup berpuas hati namun mengingatkan semua jentera bahawa tidak menganggapnya sebagai satu sokongan muktamad rakyat.

"Ini petanda baik kepada kita. Namun saya nak ingatkan kepada jentera BN agar jangan kita mendabik dada sebab ini baru permulaan kepada kemenangan kita.

"Jangan kita angkuh dan merasakan ini keputusan muktamad bahawa rakyat telah kembali kepada BN. Saya harap kita dapat tingkatkan lagi usaha. Dan saya harap ini bukan penyelesaian kepada segala usaha kelemahan yang dihadapi oleh BN", katanya.

Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda sebagai mengulas kemenangan besar BN di Bagan Pinang apabila calonnya Tan Sri Isa Samad menang dengan majoriti 5,435 undi berbanding 2,333 undi pada pilihanraya umum lalu.

Sambil mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua jentera yang terlibat beliau menyifatkan kemenangan besar BN itu hasil daripada beberapa faktor.

"Kita lihat kemenangan ini datang daripada beberapa faktor, pertama calon yang diterima oleh penduduk tempatan dan kempen serta jentera yang kemas.

"Kali ini saya tidak nampak masalah yang besar sepertimana yang berlaku sebelum ini. Kemenangan ini juga membuktikan penerimaan rakyat terhadap dasar dan kepimpinan BN di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak", ujarnya.

Sementara itu mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2009 pula beliau berharap perwakilan dapat memberi tumpuan penuh kepada proses trasformasi parti melalui pindaan perlembagaan.

Pindaaan ini tegasnya bakal memberi suntikan semangat kepada parti dan mengiktiraf orang muda dalam parti UMNO melalui beberapa pindaaan yang akan dibuat nanti.

"Untuk Pemuda UMNO, saya nak ingatkan jangan kita sia-siakan pengiktirafan menerusi pindaan ini.


"Saya percaya pucuk pimpinan telah memberikan pengiktirafan tersebut dan tanggungjawab kita adalah untuk membuktikan bahawa dengan pengiktirafan tersebut kita dapat tunaikan segala amanah yang diberikan kepada kita. Tidak ada alasan lagi selepas ini....tidak beri hak dan sebagainya", kata beliau.

Pindaan ini jelas beliau lagi telah memberikan hak yang cukup besar kepada Pemuda dan berharap manfaat dari pindaan ini digunakan untuk meningkatkan prestasi pergerakan itu.

- Oleh Kazman Kamal -

No comments:

Post a Comment