Sunday, August 09, 2015
Bai'ah Talak Tiga Tidak Merendahkan Martabat Wanita - Muslimat PAS.... Alahaiii Kenapa Jadi Gitu Pulak
KUALA LUMPUR : Dewan Muslimat PAS menyifatkan bai'ah talak tiga yang
dilafazkan wakil rakyatnya di Kelantan tidak merendahkan martabat wanita
selain dilakukan secara sukarela.
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd Salleh berkata lafaz bai'ah
berkenaan yang dimulakan bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk
Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan bertujuan mencemarkan institusi
kekeluargaan.
"Jadi pada ustazah bahawa perjuangan menegakkan Islam ini adalah sesuatu
yang sangat mahal dan tali perkahwinan juga merupakan sesuatu yang
sangat istimewa pada setiap pasangan hidup.
"Ia satu perkara yang mahal sebenarnya dan bila diletakkan itu sebagai
nilai dalam bai'ah kita bermakna ia sangat istimewa dan ia bukan nak
merendahkan muslimat itu sendiri untuk mudah-mudah ditalak oleh suami,"
katanya dalam temubual bersama Antarapos.
Justeru beliau menegaskan PAS terutamanya golongan ulama komited
melaksanakan Islam dan tidak akan melakukan sesuatu yang melanggar hukum
syarak.
"Sebab kita mesti mengingati apa yang Rasullullah kata perkara yang paling dibenci oleh Allah ialah talak, bergegar arash Allah.
"Jadi insya-Allah para ulama khususnya tok guru Nik Aziz yang memulakan
pada zaman sebagai Menteri Besar pertama yang memulakan bai'ah tersebut
dengan penuh kesedaran dan keyakinan mereka terhadap Allah dan Rasul,"
katanya.
Beliau mengulas isu sumpah bai'ah wakil rakyat PAS selepas dikaitkan
dengan lafaz bai'ah talak tiga terhadap isteri masing-masing sekiranya
meninggalkan parti.
Polemik itu timbul, selepas Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Ahmad Yakob
mengesahkan adanya sumpah bai'ah talak tiga yang perlu dilafazkan wakil
rakya di negeri itu jika meninggalkan parti itu untuk menyertai parti
lain.
Beliau berkata setiap wakil rakyat PAS di negeri itu yang mengambil
keputusan keluar parti tanpa meletakkan jawatan secara automatik
dianggap menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga.
Mekanisme yang terkandung dalam lafaz bai'ah yang dibuat wakil rakyat PAS di Kelantan sejak 2004
Lafaz bai'ah bukan main-main dan perlu difahami
Tegas Nuridah, wanita juga perlu memahami konteks lafaz bai'ah itu dan bukan menganggap ia dilakukan demi kepentingan politik.
"Sebagai muslimat kita mesti memahami bahawa perjuangan Islam ini bukan main-main, kita masuk PAS bukan sebab nak lawan Umno.
"Kita masuk PAS sebab mahu memastikan apa yang telah ditinggalkan
baginda SAW yang telah diperintahkan oleh Allah dalam al-Quran
ditegakkan.
"Sebab al-Quran itu bukan untuk dibaca, ditadaruskan, atau untuk
dijadikan bahan tesis anak-anak kita tetapi lebih daripada itu apa yang
telah ditunjukkan baginda SAW ia mesti dilaksanakan," katanya.
Nuridah turut menganggap bai'ah yang dilafazkan semua bakal calon pilihan raya PAS berlandaskan hukum syarak.
"Sebagai contoh kita boleh lihat misalnya ayat pertama dalam surah
an-Nur yang bermaksud inilah surah, kami yang turunkan nya dan kami yang
fardhukannya dan kami turunkan di dalamnya ayat-ayat yang mudah serta
jelas difahami agar kamu dapat peringatan.
"Apa maksud ayat tersebut? Allah memberi peringatan bahawa surah ini
kami yang turunkan, kami yang fardhukan dan kami yang tetapkan kamu
mesti buat," katanya.
Beliau menambah PAS konsistem menegakkan Islam dan akan terus memastikan ia tidak dicemarkan oleh pihak berkepentingan.
"Kenapa? Sebab di ayat yang kedua Allah sebut perempuan yang berzina dan
lelaki yang berzina hendaklah disebat dengan 100 kali sebatan,"
katanya.
Isu itu timbul berikutan beberapa calon PAS yang bertanding dan menang
pada pilihan raya lalu dikatakan akan meninggalkan parti untuk menyertai
Gerakan Harapan Baru (GHB).
Difahamkan lafaz bai'ah telah lama diamalkan PAS terhadap mana-mana
wakil rakyat negeri itu yang mahu meninggalkan atau melompat ke parti
lain dengan sukarela.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment