Sunday, August 09, 2015
Bandaraya Ipoh Nak Tiru La Paz di Bolivia?
Menteri Besar Perak Dato’ Seri Dr.Zambry Abd Kadir meletakan harapan
tinggi pada Datuk Bandar Ipoh yang baru, Datuk Zamri Man bagi menjadikan
bandaraya itu sebagai sebuah bandaraya yang baik dan cemerlang.
Secara perbandingan beliau menyebut tentang sebuah bandaraya di luar
negara yang sarat dengan pelbagai masalah sebelumnya seperti masalah
rasuah namun melalui transformasi oleh seorang tokoh, bandaraya itu
berjaya dipulihkan. Tiga puluh tahun kemudian bandaraya itu menjadi
sebutan umum.
Bukan itu sahaja, setelah melalui proses transformasi, hari ini
bandaraya La Paz di Bolivia disenaraikan diantara tujuh bandar paling
terbaik di seluruh dunia termasuklah Beirut (Lebanon),Doha (Qatar),
Havana (Cuba), La Paz (Bolivia),Durban (Afrika Selatan) dan Vigan
(Filipina), seperti diumumkan oleh sebuah NGO (New7Wonders).
Untuk rekod,menurut Presiden New7Wonders, Bernard Weber , NGO yang
mengetuai program pemilihan ini, kempen bermula sejak 2011, melibatkan
penyertaan 1,200 pencalonan daripada 220 negara.
Senarai panel terdiri pakar-pakar dalam bidang berkaitan seperti bekas
Ketua Kesatuan Pendidikan, Saintifik dan Budaya, Bangsa-Bangsa Bersatu
(UNESCO), Prof. Federico Mayor dan arkitek berpengalaman, Zaha Hadid
yang turut terlibat dalam pemilihan 28 bandar yang menjadi calon
finalis, dipilih sejak Oktober tahun lalu.
Menurut pemimpin NGO situ lagi, keputusan undian adalah berdasarkan
pendedahan di media sosial serta undian melalui komunikasi telefon.
Barangkali terpanggil dengan pencapaian La Paz, Menteri Besar yang
mengajak umum memikir semula aspek ini meminta Majlis Bandaraya Ipoh
(MBI) melakukan transformasi minda dan tindakan. Katanya selain
memberikan perkhidmatan cemerlang kepada warga kota Ipoh, ia harus
menjadikan Ipoh sebuah bandaraya sejahtera.
Katanya transformasi penting untuk menjadikan sesebuah bandaraya itu
sebagai bandaraya yang baik dan cemerlang. Beliau berkata demikian
ketika berucap di majlis angkat sumpah penerimaan jawatan Datuk Zamri
Man sebagai Datuk Bandar Ipoh ke – 10 di Bangunan MBI baru-baru ini.
Untuk rekod Zamri menggantikan Datuk Harun Rawi,yang bersara wajib akhir
bulan Jun lalu. Manakala Zamri memulakan tugas hari keesokannya.
Juga perlu disebut, bandaraya Ipoh dilihat masih gagal menyelesaikan
masalah sampah sarap dan lain-lain isu termasuklah masalah banjir kilat
dibeberapa kawasan. Hal ini pernah ditimbul secara terbuka oleh Menteri
Besar tidak lama dulu.
Ketika menghurai lanjut hal ini, Dr.Zambry memberi contoh usaha yang
dilakukan Robert Mac Lean, bekas Datuk Bandar La Paz di Bolivia bermula
sejak menjadi Datuk Bandar pada 1985 dan yang pertama dilantik melalui
pemilihan.
Mac Kean katanya berjaya mengubah La Paz daripada antara bandaraya yang
paling korup dan miskin di dunia, dilihat tidak mempunyai potensi masa
depan, akhirnya menjadi model dan rujukan serta kajian transformasi
bandaraya di dunia.
Bagaimanapun beliau berkata, mungkin La Paz tidak sama dengan Ipoh atau
bandaraya lain di Malaysia tetapi terdapat beberapa perkara dan
permasalahan yang bersifat universal yang boleh dipelajari.
“Kita perlu jadikan ini sebagai ikhtibar sejarah dalam dalam usaha kita
untuk memperbaiki lagi perkhidmatan kita terhadap bandaraya yang kita
cintai ini,” ujarnya.
Dr Zambry percaya pengalaman luas selama lapan tahun sebagai Yang
Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan dengan kerjasama semua
pihak, termasuk kakitangan, Zamri mampu memberi perkhidmatan yang
terbaik.
Keyakinan ini katanya berdasarkan rekod Zamri membawa MPM menjadi pihak
berkuasa tempatan ketiga terbaik di seluruh negara tahun lalu, selepas
Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Bandaraya Johor Bharu.
Menteri Besar mengulangi bahawa perkara asas yang diperlukan sesebuah
pihak berkuasa tempatan dan bandaraya bagi memastikan rakyat hidup
selesa ialah sampah, jalan, lampu jalan, parit dan longkang.
Beliau berharap, semua pihak yang terlibat, termasuk kakitangan MBI,
Ahli Majlis, MMS, JPP dan media memainkan peranan bersama-sama untuk
menjadikan Ipoh bandaraya terbaik di negara ini.
Dalam hubungan itu, Dr Zambry mahu budaya negatif seperti surat layang
dihentikan, sebaliknya semua pihak perlu melihat aspek positif dan
kelebihan masing-masing untuk bersama-sama membangunkan bandaraya Ipoh.
Sejak dilantik datuk Bandar Ipoh, warga bandaraya ini seperti teruja
menerima tokoh baru berpengalaman luas dan mempunyai reputasi baik
menerajui MBI.
Komen-komen dipetik memperlihat betapa warga bandaraya Ipoh mengalu-alu
kemunculan seorang tokoh kalangan pegawai kerajaan yang mampu
mentransformasi Ipoh.
Bagi Presidden Kelab Ahli Majlis MBI, Datuk Mohd Raduan Mohd Kasim, dua
tenaga muda—Zamri dan Mohd Zakuan Zakaria--, menerajui Majlis Bandaraya
Ipoh (MBI) mampu meningkatkan lagi imej bandar ini serta memberi
perkhidmatan yang lebih baik untuk warga bandaraya.
Beliau yakin, dengan pengalaman luas Zamri, 48, ketika menjadi Yang
Dipertua Majlis Perbandaran Manjung dan Zakuan, 44, yang berpengalaman
luas di Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri
Perak, MBI akan dapat ditadbir dengan lebih cemerlang.
“Saya juga pasti, tugas yang perlu mereka jalankan kini amat mencabar
memandangkan harapan wargakota Ipoh semakin meningkat,” katanya ketika
berucap sempena Mesyuarat Penuh MBI bulan Julai di Dewan Mesyuarat MBI
pada Jumaat.
Setiausaha Bandaraya Ipoh, Mohd Zakuan Zakaria berkata, antara kelemahan
yang mungkin berlaku itu ialah kesilapan ejaan pada nama-sama jalan dan
pelbagai kemudahan untuk golongan OKU seperti tempat letak kereta dan
laluan pejalan kaki.
Bagaimanapun, kata beliau, MBI memerlukan kerjasama orang ramai untuk
membuat aduan dan memberi maklumat mengenai perkara-perkara tersebut
bagi memudahkan pihaknya mengambil tindakan segera.
“Orang ramai boleh tampil untuk membuat aduan supaya kami boleh membaiki kekurangan yang berlaku,” katanya.
Mengenai isu etika berpakaian ketika berurusan dengan MBI, Zakuan
menjelaskan bahawa, etika berpakaian masih kekal dan warga Ipoh perlu
mematuhi etikanya.
“Kita boleh longgarkan sedikit tetapi biarlah yang bersopan, lebih-lebih
lagi apabila berurusan dengan Datuk Bandar dan Setiausaha Bandaraya.”
Malahan katanya lagi. bukan sahaja etika berpakaian digunapakai di MBI,
malah ia turut digunakan di semua pejabat-pejabat kerajaan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment