Sunday, August 09, 2015

Beranikah DAP Dan PKR Dedah Sumber Dana Pilihanraya?

Laporan Utusan Online semalam menyebut, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan supaya akta atau peruntukan undang-undang khusus diwujudkan bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap mana-mana parti politik di negara ini yang menerima dana daripada pelbagai pihak. Justeru, parti pembangkang dicabar untuk membuat pendirian sama ada bersetuju atau tidak dengan cadangan tersebut.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, parti pembangkang tidak sepatutnya bimbang untuk mengisytiharkan sumber sumbangan politik yang diterima sekiranya mereka benar-benar bersikap jujur dan telus.

Menurut beliau, dalam hal ini, UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukan sahaja tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian, malah kerajaan pernah mencadangkannya sebelum ini, namun ditentang oleh parti pembangkang.

"Kerajaan memang bersetuju dari dahulu lagi, namun kerana tentangan daripada pembangkang, kita tidak teruskan usul ini, disebabkan sekarang timbul isu dana dan sumbangan untuk UMNO, jadi sudah tiba masa akta ini diwujudkan."

"Kalau pembangkang jujur, mereka juga patut dedahkan sumber mereka. Ketika pilihan raya umum (PRU) lalu parti DAP dan PKR berbelanja besar jadi kita pun hendak tahu daripada mana mereka mendapat dana tersebut," katanya.

Beliau memaklumkan demikian menerusi ucapannya dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Putrajaya, semalam.

Cadangan SPRM itu timbul semula berikutan hasil siasatan Suruhanjaya tersebut yang mendapati wang berjumlah RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan hasil sumbangan dan bukan daripada wang 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Ismail Sabri yang juga merupakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menjelaskan, kerajaan akan memastikan akta tersebut diwujudkan sebelum PRU-14 dengan mewajibkan pengisytiharan derma termasuk jumlah dan sumber diperoleh.

Beliau ketika ditanya berhubung punca pembangkang enggan menerima akta tersebut, Ismail berkata, perkara itu tidak menolak kemungkinan parti pembangkang memperoleh dana daripada pihak luar yang mempunyai agenda yang tertentu.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment