Sunday, August 09, 2015
Ketua Polis Negara Berikrar Akan Pertahankan Perdana Menteri
GEORGETOWN : Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mempertahankan
kepimpinan kerajaan yang sedia ada pada hari ini kerana ia dipilih oleh
rakyat melalui proses demokrasi, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid
Abu Bakar.
Beliau berkata, PDRM sebagai tiang yang mempertahankan kestabilan negara
tidak boleh goyah dan mudah dimanipulasi kerana ketika ini terdapat
ancaman yang mampu menggugat kestabilan negara melalui penyebaran
maklumat tidak tepat di laman sosial.
"PDRM akan kekal menghormati kerajaan yang telah dipilih mengikut
kehendak rakyat hari ini, kami akan menghormati pilihan rakyat dan
bersama-sama memastikan kerajaan yang dilantik mengikut perlembagaan
diletak di tempat yang sepatutnya.
"Adalah menjadi tanggungjawab polis dalam memastikan kerajaan yang
dipilih rakyat ini kekal memerintah negara dan perdana menteri yang
dipilih perlu diberi penghormatan yang sepatutnya," katanya semasa
berucap pada Majlis Mesra sempena Kejohanan Golf Piala Ketua Polis
Negara di Kontijen Polis Pulau Pinang, di sini malam ini.
Beliau berkata, PDRM juga akan menyokong polisi dan dasar Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, jemaah menteri yang dilantik
serta akan terus setia kepada Yang di-Pertuan Agong dalam mempertahankan
keharmonian negara.
Khalid berkata, PDRM merupakan satu daripada tonggak kerajaan dan negara
akan pincang jika pihaknya tidak menjunjung apa jua yang diperuntukkan
dalam perlembagaan dan undang-undang negara.
"Kami tidak akan sekali-kali benarkan negara kita dalam keadaan pincang
...PDRM adalah tonggak utama negara dan kami sentiasa mematuhi apa jua
yang telah diperintahkan oleh undang-undang negara," katanya.
Beliau berkata, PDRM juga tidak menghalang sesiapa sahaja yang mahukan
pertukaran kerajaan tetapi perlu mengikut perlembagaan dan cara yang
betul.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment