Sunday, August 09, 2015
Beri Penjelasan Isu 1MDB Dan Dana Politik Kepada Anggota UMNO
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi akan memberi penjelasan terperinci berhubung isu 1Malaysia
Development Bhd (1MDB) dan dana politik sebanyak RM2.6 bilion kepada
anggota UMNO dalam masa terdekat.
Naib Presiden UMNO itu berkata langkah itu bagi memastikan setiap
anggota parti tidak terpengaruh dengan berita-berita yang tidak betul
yang disalurkan melalui sosial media.
“Akar umbi (UMNO) jika tidak diberi penjelasan akan terpengaruh
dengan gelombang dan badai yang melanda media sosial yang mengambil alih
komunikasi tanpa lisan yang berlaku sekarang,” katanya kepada pemberita
selepas merasmikan sambutan Aidilfitri dan mesyuarat Perwakilan UMNO
Bahagian Tanah Merah di sini har ini.
Beliau turut mendakwa terdapat segelintir pihak yang tidak
bertanggungjawab yang akan cuba mengambil kesempatan dengan menyebarkan
fitnah di laman sosial.
“Dulu fitnah politik berlaku melalui surat layang, penerbitan
buku-buku tetapi kini trend telah berubah di mana fitnah disebarkan
secara ‘on-line’ dalam waktu yang singkat,” katanya.
Ahmad Zahid berkata oleh kerana agenda yang telah dirancang
segelintir pihak tidak bertanggungjawab itu, fitnah yang disebarkan
melalui laman sosial itu sukar dibendung kerana tiada pembentengan yang
kukuh oleh UMNO itu sendiri.
“Dalam hal ini, apa yang berlaku jangan dianggap krisis tetapi suatu
kemelut yang datang dalam hayat politik, dan saya menyeru kepimpinan
UMNO di peringkat nasional, bahagian dan akar umbi untuk bersama dengan
kepimpinan bagi menyelesaikan permasalahan yang sama-sama kita hadapi
itu.
“Kita tahu bahawa siapa yang faham, siapa yang tidak faham, siapa
yang memanipulasi isu berkenaan. Saya tidak berhajat untuk menuding jari
kepada individu atau sesuatu kumpulan…bagi saya isu boleh diperjelaskan
dengan secara telus,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri
Mustapa Mohamed dan timbalannya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub serta Ketua
UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Ab Aziz.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid mahu perpaduan dalam kalangan
anggota UMNO terus kukuh dan tidak dipecahkan dari dalam oleh
“segelintir pihak yang tidak senang dengan saf kepimpinan semasa.”
“Masalah pembangunan, infrastruktur kita boleh cari peruntukan,
tetapi penyatuan pemikiran, hati nurani tiada harganya. Ia dapat digarap
dan dipertingkatkan jika ada perpaduan dalam kalangan kita,” katanya.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, turut
menyampaikan sumbangan RM200,000 kepada Kelab Polis Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Tanah Merah serta RM50,000 kepada Jabatan Sukarelawan
Malaysia (RELA) Tanah Merah bagi membeli pakaian seragam baharu.
Selain itu, beliau turut menyerahkan pinjaman sebanyak RM3 juta
kepada 252 usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun
Nasional).
Majlis sambutan Aidilfitri itu telah ditangguhkan selama sejam
selepas hujan lebat dan ribut melanda jajahan ini bermula pukul 3.30
petang tadi.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment