Sunday, August 09, 2015

BMF Diminta Jangan Campuri Politik Malaysia

KUALA LUMPUR : Penyumbang utama Sarawak Report, Bruno Manser Foundation (BMF) didesak berhenti mencampuri politik Malaysia apabila terus membiayai operasi portal berita itu yang menggunakan dokumen palsu untuk memburuk-burukkan pemimpin negara.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao mendakwa matlamat asal penubuhan NGO itu kini sudah "lari dari landasan" sebenar apabila menaja operasi syarikat media itu berbanding menjaga alam sekitar.

"BMF ditubuhkan untuk memelihara alam sekitar dan mengurangkan rasuah dalam industri pembalakan.

"Sekarang ini kalau kita tengok Sarawak Report kata, dia ini dibiayai oleh BMF, jadi NGO ini sudah keluar dari landasan, dia sepatutnya menjaga alam sekitar, bukan politik Malaysia," katanya kepada pemberita di pekarangan kedutaan Switzerland, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ramesh menyerahkan memorandum kepada kedutaan Switzerland untuk mendesak kerajaan negara itu berhenti menyalurkan peruntukan dana kepada BMF.

Memorandum itu diterima oleh Timbalan Ketua Misi Kedutaan Switzerland, Rolf Ott yang berjanji akan menjalankan siasatan ke atas salah laku BMF.

Ramesh juga berkata, pegawai kedutaan itu memaklumkan bahawa kedutaan Switzerland sebelum ini tidak pernah menerima sebarang memorandum atau aduan daripada mana-mana pihak terhadap BMF.

Mengulas lanjut, Ramesh turut mencabar editor Sarawak Report, Clare Recastle-Brown untuk mendedahkan pihak lain yang menjana operasi portal itu yang didakwa menggunakan dokumen palsu untuk memburuk-burukkan Perdana Menteri berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment