Sunday, August 09, 2015
Dana Politik: Saya Hanya Ikut Amalan Selaku Presiden Parti – Najib
9 Ogos 2015, Johor Baharu : Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penerimaan
dana politik merupakan amalan dalam parti dan selaku Presiden UMNO,
beliau hanya meneruskan amalan tersebut.
Perdana Menteri berkata usaha untuk mencari dana bagi keperluan parti
dan masyarakat merupakan sebahagian daripada tugas presiden dan ia
tidak pernah dipertikai mana-mana pihak sebelum ini.
“Sewaktu menjadi timbalan presiden, saya tidak pernah persoal mengenai dana parti, itu kerja presiden.
“(Perkara itu) juga berlaku pada zaman Tun (Dr Mahathir Mohamad)…saya
hanya meneruskan amalan,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat
perwakilan Umno Bahagian Pasir Gudang, di sini hari ini.
Menyifatkan bukan mudah untuk menjadi presiden, Najib berkata beliau
perlu berusaha keras untuk mencari dana bagi parti namun pada masa sama
memastikan ia tidak bertentangan dengan undang-undang.
“(Bila jadi presiden) ramai yang minta…jentera tak boleh gerak sebab
duit tak turun, menteri besar pun boleh minta dari saya…tapi saya nak
minta dengan siapa…sebab itu saya kena usaha.
“Sebab itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dah kata apa
yang saya terima bukan dari 1MDB (1Malaysia Development Bhd) dan bukan
rasuah, tetapi untuk sumbangan kepada parti dan tanggungjawab sosial
korporat (CSR)…bukan untuk kepentingan saya sendiri” kata Najib.
Beliau sekali lagi menempelak pembangkang yang menolak cadangan untuk
mengumumkan sumber dana politik seperti yang disarankan beliau empat
tahun lepas.
Menyentuh mengenai rombakan Kabinet yang baru dilakukannya, Najib menegaskan ia bukan untuk mengguris hati orang Johor.
“Ia merupakan keputusan yang amat sukar tetapi atas sebab tertentu
sesuatu perlu dibuat atas kepentingan politik…bukan untuk guris hati
orang Johor,” jelas beliau.
Dalam rombakan Kabinet baru-baru ini, Najib menggugurkan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga anggota Parlimen Pagoh.
Mengakui memahami sentimen di Johor yang selama ini antara kubu kuat
UMNO dan Barisan Nasional (BN) terhadap keputusan itu, Najib berkata
beliau menghargai kepercayaan yang diberi UMNO Johor kepada beliau untuk
terus menjadi nakhoda dalam UMNO.
“Saya yakin dan percaya berdasarkan pengalaman dulu (termasuk) ketika
ada Semangat 46, Johor masih positif dan membina untuk kembali kepada
UMNO.
“Saya yakin dalam keadaan hari ini UMNO Johor akan terus memainkan
peranan membina…sama-sama kita bukan sahaja berdoa tetapi berusaha,”
katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Najib mengakui betapa signifikannya Johor
kepada UMNO bukan sahaja sebagai negeri kelahiran parti Melayu itu,
malah kekuatan parti di peringkat nasional banyak bergantung kepada
sumber di negeri itu.
“Maka amat penting untuk teruskan perjuangan supaya jika mahu UMNO
kuat dan dihormati, maka kubu kita UMNO Johor mesti dipertahankan,”
katanya yang berjanji akan terus mengemudi parti walaupun berdepan
suasana sukar.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment