Thursday, August 06, 2015
DAP Akan Bekerjasama Dengan MB Johor Untuk "Hentam" UMNO?
DAP sentiasa membuka pintu untuk mana-mana pihak, termasuk pemimpin dan
ahli UMNO yang anti-rasuah, yang mahu menyelamatkan Malaysia daripada
dirosakkan oleh penyelewengan, perkauman dan salahguna kuasa.
Dalam isu terbaru, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin,
menyuarakan marahnya terhadap budaya rasuah dalam parti, dan mahu
pemimpin dan ahli parti “mengambil langkah ke hadapan”.
Sehubungan itu, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, menasihatkan
pimpinan dan anggota UMNO supaya bermuhasabah diri terlebih dahulu.
Katanya, jika UMNO benar-benar jujur, tentunya ia sebagai sebuah parti
yang telah menerajui negara sejak lebih 60 tahun dahulu akan menolak
politik perkauman, skandal penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Ini termasuklah dalam hal penerimaan ‘derma RM2.6 bilion’ kepada UMNO
bagi memenangi pilihanraya menerusi akaun peribadi Perdana Menteri yang
turut merupakan Presiden UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang mengulas status Facebook rasmi
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin, yang dimuat naik pagi
tadi. Status tersebut dipercayai berkaitan dengan krisis dalaman UMNO
berhubung skandal 1MDB serta kesan politik kotor pucuk pimpinan parti
itu.
Dalam status itu, Khaled menulis:
“UMNO tidak lagi boleh hanya jadi pemerhati, bila bangsa masih
bergelumang dengan kemiskinan dan jurang keberadaan. UMNO tidak boleh
berdiam diri, kalau rasuah jadi budaya atau misalnya amanah dikhianati.
“UMNO tidak boleh hanya membisu bila parti tidak lagi mengutamakan
perjuangan bangsa Melayu tetapi digunakan untuk membela golongan
tertentu atas nama kesetiaan pada parti atau disiplin kepartian mentaati
pemimpin. Sudah sampai masanya UMNO bergerak beberapa langkah ke
hadapan. Lebih proaktif dan lebih dominan.”
Menurut Chin Tong, DAP menyedari masalah yang sedang dihadapi UMNO yang
turut menyebabkan golongan sederhana dalam parti itu tidak senang dengan
keputusan dan tindakan pucuk pimpinan.
“Dalam hal ini, DAP Johor bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana
pihak, termasuk UMNO Johor, yang berusaha ke arah merealisasikan Impian
Malaysia.
“Impian Malaysia adalah cita-cita sebuah Malaysia yang bebas rasuah,
pengurusan sosioekonomi yang sihat dan adil, tadbir urus yang cekap dan
amanah, serta demokrasi yang sihat,” ujar beliau.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment