Thursday, August 06, 2015
Siapa Akan Ganti Mukhriz Sebagai MB Kedah Yang Baru?
Sejurus selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat dari jawatan Timbalan
Perdana Menteri (TPM), beliau dikunjungi oleh Menteri Besar Kedah, Dato’
Paduka Mukhriz Mahathir. Di kala Timbalan Perdana Menteri baharu, Dato’
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dihurung para pengampu politik, Mukhriz
memilih Muhyiddin.
Katanya, untuk berterima kasih kepada bekas TPM itu yang banyak membantu menyalurkan bantuan kewangan untuk Kedah.
Pemecatan Muhyiddin sebagai TPM adalah tindakan paling nekad Najib.
Turut dipecat bersama Muhyiddin dari kabinet adalah beberapa pemimpin
Umno yang dikatakan merancang konspirasi menjatuhkan perdana menteri.
Mengejutkan juga apabila peguam negara yang menunggu masa saja untuk
bersara turut dipecat.
Jika orang nombor dua dalam kerajaan Malaysia begitu mudah sahaja
dipecat, maka menjadi perkara yang sangat kecil untuk perdana menteri
itu memecat seorang menteri besar yang bapanya begitu istiqamah
menyerang beliau dalam pelbagai perkara. Hal itu tentu sangat mudah
difahami oleh Mukhriz, justeru beliau tiada masalah untuk bertemu
seorang tokoh besar Umno yang dipecat oleh perdana menteri.
Sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad agresif menyerang Najib sejak setahun
lalu, Mukhriz tidak pernah berpihak kepada Najib. Sikap itu betul
sebagai anak salih yang tidak menderhakai si bapa.
Tetapi dalam politik dan kepimpinan kerajaan, kesetiaan terhadap
pemimpin adalah perkara paling utama. Sikap berdiam diri Mukhriz itu
menyebabkan dicabar oleh Dato’ Mahfuz Omar (pesuruhjaya PAS Kedah ketika
itu) supaya Mukhriz nyatakan pendirian. Sokong Najib atau bapanya.
Mukhriz tetap membisu. Dalam Dewan Undangan Negeri, sikap menyepi
Mukhriz menyebabkan beliau disindir oleh bekas Exco Kedah yang juga Adun
Bukit Lada, Dato’ Ahmad Lebai Sudin. Di luar Dewan, Ahmad terus
mencabar Mukhriz menyatakan pendirian berterus terang dalam isu serangan
Tun Dr Mahathir terhadap Najib.
Mukhriz membisu juga. Dalam kalangan Adun kedah, Ahmad Lebai Sudin
paling berani kerana beliau sudah hilang kepentingan terhadap Mukhriz
kerana tidak dilantik untuk apa-apa jawatan penting dalam kerajaan
mahupun GLC.
Tempelakan Najib terhadap Mukhriz berlaku secara terang-terangan apabila
dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) oleh Perdana
Menteri, semua projek mega yang dicanangkan Mukhriz dalam Bajet 2015;
tiada satu pun ditunaikan Najib.
Di mana Mukhriz dan exco kerajaan negeri Kedah hendak letak muka apabila
mereka telah mencanangkan ke seluruh pelosok negeri bahawa sebuah
lapangan terbang antarabangsa baharu akan di bina di Kulim, sedangkan
perdana menteri langsung tidak menyenaraikannya.
Apapun, jika berlaku penyingkiran terhadap Mukhriz sebagai menteri besar
ia adalah munasabah jika tanpa pergolakan politik dalaman Umno
sekalipun. Selepas tempoh dua tahun berlalu, rakyat Kedah umumnya sudah
menyedari bahawa Mukhriz gagal membangunkan Kedah seperti dijanjikan.
Rakyat benar-benar tidak nampak apa-apa pembaharuan yang dilakukan
Mukhriz, berbanding tempoh yang sama sewaktu al-Marhum Ustaz Azizan
Razak memimpin kerajaan Pakatan Kedah dahulu.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman,
pengalamannya sebagai Timbalan Menteri dahulunya tidak mampu memberi
impak besar kepada negeri Kedah. “Rekodnya selaku menteri besar sehingga
ke hari ini menunjukkan beliau belum mempunyai wawasan realistik
melainkan hanya retorik,” ujar Mohd Hayati.
Tambahnya, kehendak Mukhriz untuk mengadakan pembangunan mega yang
dibanggakannya tidak menjejak ke bumi nyata dan tidak menyentuh
keperluan sebenar rakyat negeri ini. Selain tanpa pembelaan sewajarnya
terhadap isu dan hak rakyat sebagaimana cengkaman kejatuhan harga getah,
kenaikan harga barangan, masalah perbekalan air, pampasan harga tanah
dimanipulasi dan sebagainya.
Seperti biasa dalam UMNO, apabila nasib menteri besar bagai telur di
hujung tanduk; maka ramailah yang sedang memasang angan-angan untuk
mengambil alih tempat tersebut. Mendahului senarai adalah Adun Bakar
Bata, Dato’ Ahmad Bashah Md Hanipah.
Beliau kini adalah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi
Dan Kepenggunaan. Jika Mukhriz tiada dalam senarai Adun Kedah pasca PRU
13, maka Ahmad Bashah hampir pasti dilantik sebagai menteri besar
berdasarkan senioriti dan kesetiaan kepada Najib.
Beliau adalah Adun BN yang paling lama bertahan di Dun Kedah, selain Dato’ Abu Hasan Sarif (Kota Siputeh).
Pilihan kedua adalah exco kanan kini, iaitu Dato’ Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak).
Cabaran Ku Abd Rahman ialah, akibat terlalu rapat dengan Mukhriz,
maklumlah sebagai orang kanan. Maka beliau dianggap sebagai orang
Mukhriz. Masakan Najib akan pilih “orang Mukhriz” sebagai pengganti
Mukhriz.
Di media maya, nama Adun Bukit Lada, Dato’ Ahmad Lebai Sudin menjadi
viral. Sebaik Muhyiddin jatuh, Ahmad memimpin beberapa Adun backbencher
bertemu Najib. Hebohnya kononnya beliau bagal pengganti Mukhriz. Dalam
kalangan Umno Kedah, nama beliau hanya jadi bahan lawak jenaka sahaja.
Bertanding ketua Umno Bahagian Pokok Sena pun kalah.
Bekas exco zaman Tan Sri Sanusi Junid jadi menteri besar itu sekadar menjadi penghibur Dun Kedah setiap kali sidang berlangsung.
Siapa pun bakal MB Kedah, dia amat sukar memulihkan imej Umno yang rosak
teruk di peringkat Pusat gara-gara senarai panjang kegagalan kerajaan
BN pimpinan Najib. Di Kedah, BN gagal juga sepanjang dua tahun.
Menteri Besar baharu hanya mampu menyambung kegagalan menjelang pertukaran kerajaan selepas PRU 14 nanti.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment