Thursday, August 06, 2015
DAP Takut PAS Dominasi Pakatan... Dedah Tuan Ibrahim
Pelaksanaan hukum hudud di Kelantan hanyalah alasan untuk DAP
melancarkan serangan terhadap Pas kerana isu itu bukan perkara utama
yang menjadi kebimbangan parti berkenaan selama ini.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa, DAP
sebenarnya khuatir terhadap kekuatan PAS yang mampu menjadi parti utama
yang mendominasi pakatan pembangkang.
Menurut beliau, calon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini
berada di dalam penjara dan jika pakatan pembangkang berjaya
menumbangkan Barisan Nasional (BN), calon terbaik bagi mengisi jawatan
nombor satu itu ialah wakil daripada PAS.
"Kalau kita menang dalam pilihan raya ketika Anwar masih dalam penjara,
siapa akan jadi Perdana Menteri? Tidak ada orang lain kecuali Pas. DAP
tak boleh jadi Perdana Menteri sebab ada halangan Perlembagaan.
"Itu yang dia takut sangat, bukan pasal hudud. Masa itu hudud tak berbunyi dah," katanya.
Tuan Ibrahim dalam pada itu berkata, dakwaan beliau mempunyai asas
kerana DAP dengan PAS tidak pernah bertembung dalam mana-mana isu, namun
DAP kini menganggap PAS sebagai seteru utama.
"Tengok sejarah, kita tidak pernah bertembung dalam pilihan raya. Isu
Menteri Besar Selangor dan Langkah Kajang pula antara PAS dengan PKR.
Jadi apa nak marah sangat dengan PAS?" katanya.
Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa PAS tidak mampu berjuang
bersendirian tanpa bergabung dengan mana-mana parti politik yang lain.
"Jangan kata begitu sebab kalau ada gabungan parti politik besar menang
pilihan raya, mungkin masih tidak dapat membentuk kerajaan kecuali
disertai parti kecil yang bersendirian.
"Masa itu, parti kecil ini mahal harganya," ujar beliau.
Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim mempersoalkan kewujudan Gerakan
Harapan Baru (GHB) yang disifatkan tidak ada nilai tambah kerana
strategi kumpulan serpihan itu yang berterusan memecahbelahkan PAS dan
sekadar berkempen di Kelantan hanya menguntungkan pihak lawan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment