Thursday, August 06, 2015

Hasrat SPRM Dapatkan Penjelasan Najib Bukti Siasatan Dijalankan Secara Telus

6 Ogos 2015, Kuala Lumpur : Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin melihat hasrat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi penjelasan berhubung sumbangan derma bernilai RM2.6 bilion membuktikan agensi terbabit menjalankan siasatan tanpa takut dan pilih kasih.

“Kalau sekiranya memerlukan keterangan yang diberi sendiri oleh Datuk Seri Najib untuk membantu siasatan itu lebih sempurna, lebih menyeluruh maka ianya membuktikan SPRM menjalan siasatan tanpa takut dan pilih kasih.

“Dan ini membuktikan bahawa sebenarnya kita tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan dan saya yakin bahawa kalau niat dan tujuan SPRM itu adalah untuk menunjukkan ‘transparent’ siasatan, saya rasa itu adalah perkara yang boleh meyakinkan siasatan ini.
sprm-logo-suruhanjaya-pencegahan-rasuah-malaysia
“Cuma menariknya hari ini kita tengok pada satu ketika dahulu pembangkang mempersoalkan kredibiliti SPRM dan hari ini saya difahamkan pagi tadi ramai pemimpin pembangkang yang pergi ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk menyatakan sokongan mereka kepada SPRM.

“Itu mungkin tujuan politik merekalah tetapi penting di sini membuktikan bahawa SPRM ada kredibilitinya sendiri dan tidak boleh ada mana-mana pihak yang boleh menyekat siasatan yang dibuat SPRM sebagai satu badan bebas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda BN di sini, hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO berpendapat tindakan mana-mana pihak menghentam Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal sebagai kurang bijak.

“Kenyataan Pemuda UMNO sejurus selepas rombakan kabinet adalah bahawa kedudukan Tan Sri Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden parti perlu terus dihormati dan begitu juga Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Naib Presiden UMNO.

“Sebarang tindakan untuk memburukkan dan menyerang beliau bagi saya wajar kita tolak dan tidak menggambarkan budaya kita dalam parti yang menghormati pemimpin dan juga tindakan kurang bijak kerana membenarkan bibit-bibit perpecahan wujud di dalam UMNO.

“Sekarang ini kita berdepan dengan suasana politik yang sangat mencabar dan kita tidak boleh membenarkan perpecahan wujud di dalam UMNO. Dan saya harap mereka yang menyerang kedua-dua pemimpin berkenaan hentikanlah.

“Malah Tan Sri Muhyiddin telah secara jelas menyatakan komitmennya untuk taat dan setia bersama parti. Dan mana-mana bahagian yang menjemput beliau untuk merasmikan mesyuarat adalah satu penghormatan,”ujarnya.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment