Thursday, August 06, 2015

Pemuda BN Laung Kesediaan Berdepan Pilihan Raya Negeri Sarawak

6 Ogos 2015, Kuala Lumpur : Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini melaungkan kesediaan pergerakan itu bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.

Pengerusinya, Khairy Jamaluddin berkata kesemua Pemuda-Pemuda parti komponen akan turun ke negeri Sawarak membantu menjayakan pilihan raya negeri terbabit dengan memberi tumpuan kepada program yang melibatkan golongan muda.

“Selain itu kita juga akan menubuhkan badan sukarelawan di sana iaitu BN Youth Volunteer (BNYV) untuk menarik penglibatan daripada orang muda di luar parti untuk menyertai sukarelawan kita membantu menjayakan pilihan raya negeri berkenaan.
Kuala Lumpur, 6 Ogos--Pengerusi Pemuda Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin ketika menjawab pertanyaan wartawan dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda Barisan Nasional di PWTC petang ini. Turut bersama Timb. Pengerusi Pemuda Barisan Nasional, Khairul Azwan Harun dan Setiausaha Pemuda BN, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz serta Pengerusi-pengerusi parti-parti komponen Barisan Nasional. - Foto : MediaUMNO
“Kita telah diberikan taklimat tadi oleh Pemuda BN Sarawak bahawa persiapan dari segi program telah berjalan dan kita akan mempergiatkan lagi program-program berkenaan. Justeru persediaan dah mula dan kita di peringkat Pusat akan turut sama membantu BN negeri”, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda BN di sini, hari ini.

Berdasarkan taklimat daripada Pemuda BN Sarawak jelas beliau lagi penerimaan orang muda terutama kepada kepimpinan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Adenan Satem sangat-sangat baik dan cukup positif.

“Kita berharap penerimaan itu dapat diturunkan kepada BN sebagai parti.  Dan tumpuan utama kita sudah tentu pengundi muda selain kawasan yang ditandingi Pemuda BN serta kawasan-kawasan tumpuan yang lain,” ujarnya.

Dalam pada itu Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO turut memberitahu Pemuda BN akan mengadakan konvensyen pada hujung tahun ini dalam usaha membincangkan strategi serta pelbagai perkara lain untuk berdepan pilihan raya umum akan datang selain merapatkan lagi hubungan antara Pemuda-Pemuda komponen di dalam parti berkenaan.

Jelas beliau lagi konvensyen berkenaan yang tercetus hasil daripada retreat Pemuda BN yang diadakan sebelum ini.

“Perkara ini telah kita bincangkan di dalam mesyuarat tadi. Konvensyen ini susulan daripada retreat yang kita telah adakan pada tahun lepas untuk rapatkan lagi hubungan  di antara sayap Pemuda,” katanya.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment