Tuesday, August 04, 2015

Mahathir Sedih Bila Kena Fitnah Di Usia Tua

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menafikan dakwaan yang mengatakan wang derma politik dimasukkan ke akaun peribadinya ketika menjadi Presiden Umno.

Mahathir berkata, beliau mengizinkan pihak berkuasa untuk membuat pemeriksaan dan siasatan terhadap akaun peribadinya ketika menjadi perdana menteri 22 tahun bagi membuktikan dakwaan tersebut.

"Tidak ada satu sen pun dari wang derma untuk pilihan raya yang dimasuk dalam akaun saya.

"Saya sedia semua akaun peribadi saya selama 22 tahun diperiksa oleh orang yang tidak ada kepentingan bagi mengesahkan pengakuan saya ini atau sebaliknya," kata Mahathir menerusi entri terbaru di laman blog miliknya.

Mahathir dalam masa sama menjelaskan, semasa beliau melepaskan jawatan, beliau telah menyerahkan segala amanah wang tersebut kepada presiden ketika itu, Tun Dr Abdullah Ahmad Badawi.

"Di waktu saya letak jawatan sebagai presiden Umno, saya arah wang tunai dalam bank dan saham-saham serta surat milik hartanah diserah kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Pegawai yang menyerah ialah Nor Mohamad Yacob dan Noordin Bachik," tulis Mahathir.

Oleh itu, Mahathir yang menjelaskan mengenai wang tersebut menyifatkan tuduhan yang dilemparkan kepada adalah tidak berasas dan merupakan satu fitnah memburukkan imejnya.

"Tuduhan ini tidak berasas, semata-mata fitnah," katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment