Sunday, August 09, 2015
Mahkamah Rayuan Kurangkan Ganti Rugi Kes Saman Terhadap Khalid Samad
PUTRAJAYA : Mahkamah Rayuan di sini mengurangkan jumlah ganti rugi
daripada RM300,000 kepada RM200,000 yang harus dibayar anggota Parlimen
Shah Alam Khalid Abdul Samad kepada Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati)
Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berhubung kenyataan berbaur fitnah.
Barisan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Alizatul Khair Osman
Khairuddin menolak rayuan Khalid ke atas liabiliti dan keputusan
Mahkamah Tinggi mengarahkannya membayar RM200,000 kepada Hasan sebagai
ganti rugi am.
Beliau, bagaimanapun, membenarkan rayuan Khalid untuk mengetepikan
keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar RM100,000
sebagai ganti rugi teruk kepada Hasan.
Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim juga menganggotai panel itu bersama Hakim Alizatul.
Pada 31 Oktober 2013, Mahkamah Tinggi membenarkan saman Hasan selepas
memutuskan bahawa beliau berjaya membuktikan bahawa Khalid membuat
kenyataan itu dengan niat jahat.
Pada 27 November 2013, Mahkamah Tinggi, dalam prosiding untuk menilai
ganti rugi dalam perkaran itu, telah memerintahkan Khalid membayar
RM200,000 kepada Hasan sebagai ganti rugi am dan RM100,000 sebagai ganti
rugi teruk.
Hasan, yang juga bekas pesuruhjaya PAS Selangor dan anggota exco negeri
memfailkan saman ke atas Khalid kerana mendakwa Khalid telah menuturkan
perkataan fitnah ke atasnya dalam sidang media pada 24 Februari 2012.
Hasan mendakwa bahawa Khalid seterusnya menerbitkan perkataan fitnah itu
dalam artikel dalam blognya dan wartawan dalam sidang media kemudian
menyiarkan perkataan-perkataan itu dalam portal berita "mstar" dan
"Malaysiakini".
Khalid diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin sementara Hasan diwakili peguam Hasnal Rezua Merican.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment