Sunday, August 09, 2015
Muhyiddin Tegas Tidak Bersekongkol Pembangkang Tumbang Perdana Menteri
9 Ogos 2015, Petaling Jaya : Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin
Yassin menegaskan beliau tidak pernah bersekongkol dengan pembangkang
untuk menumbangkan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak.
Beliau berkata selaku orang nombor dua dalam parti yang ditunjangi
orang Melayu itu, adalah tidak munasabah untuk beliau berbuat demikian.
“Saya tidak ada komplot untuk tumbang perdana menteri dengan
bersekongkol dengan Menteri Besar Selangor (Mohamed Azmin Ali) dan Lim
Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang)… kedua-dua telah nafi dan saya
tidak perlu nafi ataucakap kerana saya tidak terlibat,” katanya ketika berucap merasmikan
Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara di sini,
hari ini.
Muhyiddin berkata beliau yang berada dalam UMNO selama lebih 40 tahun
nekad untuk menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai timbalan
presiden bagi meneruskan perjuangan membela orang Melayu.
Beliau seterusnya mengingatkan anggota UMNO terutama di Selangor
supaya tidak mudah mengaku kalah untuk menguasai semula negeri itu pada
pilihan raya umum akan datang.
Merujuk kepada pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi UMNO, Muhyiddin
berkata anggota parti terutama sayap Pemuda perlu mengutamakan soal
kepentingan perjuangan parti melebihi pangkat dan jawatan yang
disandang.
“Tugas kita untuk selesai cari jalan isu-isu seperti GST (Cukai
barang dan Perkhidmatan), pengangguran anak-anak muda, kenaikan harga
kos barang selain dibebani masalah lain yang berlegar dan membawa
beban,” katanya.
Kepada pimpinan Pemuda yang mempunyai idealisme baharu itu, beliau
menasihatkan golongan itu supaya menggunakan platform yang tepat bagi
mengutarakan isu dan pandangan selaras dengan perkembangan arus semasa.
“Malaysia mampu menjadi sebuah negara maju, namun ia memerlukan
komitmen keseluruhan kepimpinan terutama golongan muda yang berani dan
tegas,” katanya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment