Sunday, August 09, 2015
Utamakan UMNO, Ujian Serta Cabaran Bukan Perkara Baru – Hishammuddin
9 Ogos 2015, Kuala Lumpur : Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin
Hussein menyifatkan cabaran serta ujian yang dihadapi oleh parti itu
hari ini bukanlah satu perkara baru, sebaliknya telah dialami sebelum
ini.
Menurut beliau apa yang membezakan cabaran yang dihadapi oleh UMNO
zaman sebelum ini dengan ujian yang melanda waktu ini adalah pada
kaedahnya semata-mata dan ahli UMNO perlu mendepaninya secara rasional.
“Apa yang kita lalui pada hari ini bukanlah benda yang baru, cuma
kaedahnya yang baru. Bayangkan pada cabaran sebelum ini dengan wujudnya
media baharu seperti facebook, twitter, blog dan sebagainya lagi, apa
yang kita boleh jangkakan. Bayangkan apa jadi pada waktu itu. Pemecatan
Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penubuhan parti Semangat 46, isu Ketua Pemuda
UMNO, Datuk Harun Idris yang digugurkan daripada jawatan dan sebagainya
lagi.
“Dengan pelbagai fitnah dan pelbagai tohmahan yang silih berganti
menyerang kepimpinan UMNO dan pelbagai ujian yang dihadapi oleh
kepimpinan parti yang lain. Sebelum ini kita berdepan dengan surat
layang, penulisan buku dan sebagainya.
“Bayangkan pada satu ketika ahli UMNO nak pakai baju parti pun malu.
Pernah Ketua Pemuda UMNO Malaysia diludah ketika program Pemuda Masuk
Kampung. Presiden dan Perdana Menteri pada waktu itu diberi pelbagai
gelaran.
“Namun Alhamdulillah, UMNO akhirnya berjaya mendepaninya dan parti
terus kukuh dengan ahlinya terus bersatu padu. Pada masa itu kita
laluinya bersama dengan sabar dan tabah. Sebab itulah pentingnya kita
ahli parti dalam apa jua keadaan mengutamakan institusi kepartian yang
telah kita amalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO bahagian Pandan, di sini, hari ini.
Kata beliau lagi kesabaran, kesedaran dan kesepakatan dikalangan ahli
perlu dipertahankan sebaik mungkin kerana itulah kunci kepada kekuatan
parti ini.
“UMNO merupakan satu keluarga yang besar. Kita kena lihat bagaimana
datuk nenek moyang kepimpinan kita dalam menghadapi ujian dan menghadapi
cabaran sebelum ini. Kita mesti bangkit untuk mempertahankan parti.
“Tidak perlulah kita menari mengikut rentak pembangkang. Kita dalam
keluarga UMNO rasional dalam menyelami isu-isu semasa yang dikipas oleh
pihak di luar sana kerana perkara pokok iaitu ‘parti’ perlu diutamakan,”
katanya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment