Thursday, August 06, 2015
Muslimat PAS Johor Desak Tiga Wakil Rakyatnya Letak Jawatan
SHAH ALAM : Dewan Muslimat PAS Johor mendesak tiga Ahli Jawatankuasa
Tertingginya meletakkan jawatan selepas mendapati kesemua mereka
menyatakan dengan jelas untuk menyertai parti Gerakan Harapan Baru
(GHB).
Pengerusi Sekretariat Srikandi Istiqamah Johor, Normala Sudirman
berkata, kesemua mereka perlu meletakkan jawatan serta merta tanpa perlu
menunggu GHB didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Tindakan trio utama AJK Dewan Muslimat Negeri Johor yang selama ini
terlibat dalam usaha mempromosi, memberi penerangan berkaitan Harapan
Baru terutama melalui paparan kain banting ucapan, grafik dan gambar
melalui media sosial seperti Facebook dilihat sebagai suatu tindakan
yang mencemarkan maruah,integriti dan menyalahi etika pimpinan jamaah
Islam PAS khususnya di Negeri Johor sekaligus melakukan tindakan
merugikan parti.
Ia telah jelas dilarang sebagaimana yang telah termaktub dalam Perlembagaan PAS.
"Justeru, kami mendesak agar tiga orang AJK Tertinggi Dewan Muslimat Pas
Negeri Johor meletak jawatan serta merta," katanya dalam satu kenyataan
hari ini.
Ketiga-tiga mereka adalah Ketua Dewan Muslimat Pas Negeri Johor,
Norhayati Bachok, Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas, Norhayati Bidin dan
Naib Ketua Dewan Muslimat Pas Negeri Johor, Anis Afida.
Katanya lagi, ketiga-tiga AJK tersebut pun sudah maklum berhubung tindakan mereka yang melanggari Perlembagaan parti.
"Ahli Pas sudah jelas tentang keraguan halatuju GHB yang kini dinamakan
'Harapan Baru' sebagai satu usaha menggerakkan sebuah wadah politik
baharu dan sedang, menanti kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Surat arahan kepada ahli parti telahpun dikeluarkan pada 31 Julai 2015
berkaitan larangan penglibatan ahli kepada usaha yang dijalankan bagi
menggerakkan aktiviti Harapan Baru," katanya.
Normala atau dikenali sebagai Cikgu Mala juga menegaskan aktiviti
ketiga-tiga AJK tersebut yang dilihat agak kontra dengan dasar PAS sejak
16 Jun 2015 hinggalah hari ini telah menjejaskan tumpuan dan
tanggungjawab terhadap usaha untuk menjaga keutuhan,imej dan maruah
parti.
"Mereka gagal bekerjasama dengan Badan Perhubungan Pas Negeri Johor
apabila dijemput untuk bermesyuarat dan mengadakan pertemuan bagi
merungkai masalah atau mejawab segala kekeliruan atas segala tindakan
yang mereka lakukan," katanya.
Dalam pada itu, Normala turut mengingatkan kepada Muslimat PAS Johor
yang turut mempunyai hasrat untuk menyertai GHB supaya meletakkan
jawatan mereka segera bagi memudahkan pergerakan parti.
"Kami juga mendesak agar AJK Dewan Muslimat Pas Negeri Johor dan Ahli
Jawatankuasa Dewan Muslimat Pas Kawasan (DMPK) di semua peringkat yang
menyokong dan terlibat dalam aktiviti GHB, meletakkan jawatan
berkuatkuasa serta merta tanpa menunggu GHB diluluskan oleh ROS sebagai
sebuah parti politik.
"Kami mendesak agar meletakkan jawatan serta berundur secara terhormat
berkuat kuasa hari ini secara serta merta secara berprosedur . Walau
bagaimana pun, hubungan silaturrahim sesama saudara SeIslam dan ukhuwwah
yang pernah terjalin tetap dihargai dan kekal hingga ke akhir hayat.
GHB yang dicanang-canangkan bakal menggantikan PAS dalam Pakatan Rakyat dijangkakan akan ditubuhkan pada 14 September depan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment