Friday, August 21, 2015
Pakar Britain Sahkan VAPE 95% Lebih Baik Dari Rokok Konvensional
Pakar-pakar kesihatan awam Britain melalui satu kajian semalam
mencadangkan rokok elektronik (e-rokok) wajar diperkenalkan kepada
perokok untuk membantu mereka menghentikan tabiat buruk itu.
Kajian oleh pihak berkuasa Kesihatan Awam England (PHE) mendapati
e-rokok yang dikenali sebagai vapor adalah 95 peratus kurang berbahaya
berbanding rokok konvensional.
Penulis bersama kajian itu, Profesor Ann McNeill dari King’s College
London berkata, peranti berkuasa bateri itu dapat mensimulasikan
perasaan merokok tetapi tanpa kandungan nikotin yang membahayakan
kesihatan perokok.
Tabiat merokok merupakan punca utama kematian boleh dicegah di England
berjumlah lebih 80,000 setahun, menurut Perkhidmatan Kesihatan
Kebangsaan.
Populasi rakyat Britain yang merokok pula ialah satu dalam setiap lima penduduk.
“Merokok masih menjadi pembunuh nombor satu di England dan perkara
terbaik yang boleh dilakukan perokok ialah berhenti terus,” kata
Pengarah Kesihatan dan Kesejahteraan Hidup PHE, Profesor Kevin Fenton.
“E-rokok bukan bebas risiko sepenuhnya tetapi jika dibandingkan dengan
rokok konvensional, bukti menunjukkan ia hanya membawa sebahagian kecil
daripada kemudaratan rokok.”
Vapor kurang popular berbanding rokok konvensional, manakala dianggarkan hanya 2.6 juta rakyat Britain menggunakan e-rokok.
Ketika ini, tiada satu pun peranti e-rokok mempunyai lesen bagi tujuan
perubatan di Britain. Ini bermakna doktor tidak boleh mencadangkan
penggunaannya kepada pesakit.
Bagaimanapun, kajian mendapati bahawa bertentangan dengan persepsi awam,
e-rokok tidak membahayakan kesihatan dalam cara yang sama seperti rokok
konvensional.
“Kajian mendapati penggunaan e-rokok melupuskan hampir semua risiko
kesihatan yang dikaitkan dengan rokok konvensional,” kata seorang lagi
penulis bersama, Profesor Peter Hajek daripada Universiti Queen Mary.
Pakar-pakar juga mengatakan bahawa tiada bukti setakat ini yang
menunjukkan e-rokok menjadi penyebab kepada tabiat merokok dalam
kalangan kanak-kanak atau bukan perokok.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment