Thursday, August 06, 2015
Pindaan Akta Komunikasi Ambil Kira Perubahan 17 Tahun Lalu
PUTRAJAYA : Pindaan Akta Komunikasi dan
Multimedia (AKM) 1998 perlu mengambil kira keadaan persekitaran dalam
talian yang sudah berubah sepanjang tempoh 17 tahun lalu termasuk
kemunculan media sosial, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Seri Dr Halim Shafie.
Beliau berkata, untuk menangani masalah yang timbul kesan daripada
kewujudan media sosial, klasifikasi hukuman dalam AKM serta penerangan
jelas berhubung tindakan penguatkuasaan adalah perlu.
Pada masa sama, katanya, pindaan juga perlu mempertimbangkan trend
bahawa pengguna maklumat di media sosial juga adalah pihak yang
menerbitkan kandungan tersebut.
“Sesetengah peruntukan dalam AKM perlu dipinda bagi memperkasa peranan penguatkuasaan SKMM.
“Sebagai contoh, penalti untuk kesalahan-kesalahan perlu diteliti
semula bagi memastikan AKM dilihat lebih berkesan sebagai satu langkah
pencegahan,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.
Halim berkata, kajian semula AKM bukan hanya berkisar kepada usaha
memperkukuh keupayaan penguatkuasaan SKMM, malah terdapat banyak lagi
bahagian dalam akta berkenaan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia 1998 yang turut dikaji.
“Kajian semula ke atas kedua-dua akta ini diharap akan mewujudkan
suasana persekitaran yang sihat dan kondusif kepada pengguna untuk
menggunakan Internet secara positif.
“Pada masa sama menghalang pengguna menggunakan internet untuk
mencetuskan kebimbangan dan ketidakstabilan kepada negara,” kata Halim,
sambil menambah SKMM komited untuk memperhebat penguatkuasaan terhadap
mereka yang melanggar undang-undang.
Menjelas lanjut, Halim berkata pihak SKMM akan meneruskan usaha
memperhebat literasi media untuk mewujudkan kesedaran dan mendidik
pengguna menggunakan Internet secara positif.
Beliau berkata menyekat akses kepada kandungan dalam Internet tidak semestinya menjadi jalan penyelesaian utama.
“Kita harus mengelak situasi di mana majoriti pengguna yang
menggunakan internet secara bertanggungjawab menerima kesan hanya kerana
perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir pengguna,” katanya.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment