Thursday, August 06, 2015

Rais Yatim Mahu UMNO Bahagian Tak Jadi Kuku Besi

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Dr. Rais Yatim mengingatkan semua UMNO bahagian supaya tidak menggunakan kaedah kuku besi dalam menguruskan isu perasmian persidangan perwakilan yang melibatkan sama ada Timbalan Presiden, Tan Sri Muh­yiddin Yassin mahu pun Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Beliau berkata, sebagai parti yang berpengalaman, UMNO sepatutnya mengambil langkah positif yang diibaratkan seperti `menarik rambut dalam tepung’ dalam isu tersebut.

Menurutnya, ini kerana Muhyiddin dan Mohd. Shafie mempunyai hak sebagai pemimpin tertinggi parti dan adalah tidak wajar sekiranya jemputan terhadap mereka diketepikan.

"Ini tidak demokratik dan tidak memartabatkan nilai dalam perjuangan. Jangan kita lupa Fasal 3 dalam Perlembagaan UMNO berkata, UMNO sebagai parti politik berjuang memperhebatkan kepentingan bangsa dan negara."

"Ini dalam perlembagaan. Ia juga menyebut agar parti ditadbir dengan baik dan adil. Jadi, dalam hal sebegitu, sebaik-baiknya yang dijemput dahulu dibiarkan hadir."

"Takkan pemimpin-pemimpin ini akan mengeluarkan kenyataan yang memecah belah? Kita dengar apa yang keluar dari pandangan mereka, kemudian barulah pimpinan membuat analisis," katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Pusat Aktiviti Kebudayaan UIAM Kampus Gombak, di Gombak.

Seperti yang umum ketahui, beberapa UMNO bahagian antaranya Raub di Pahang dan Sungai Besar di Selangor sebelum ini bertindak dengan membatalkan jemputan terhadap Muh­yiddin bagi merasmikan persidangan perwakilan bahagian masing-masing susulan beliau digugurkan daripada Kabinet.

Manakala, di Batu Gajah dan Ipoh Barat, UMNO bahagian masing-masing turut dikatakan bertindak dengan memba­talkan jemputan mereka terhadap Mohd. Shafie.

Rais menambah, fenomena itu bukanlah pertama kali dialami UMNO kerana sebelum ini, beberapa pemimpin lain pernah digugurkan dari Kabinet termasuk Tan Sri Syed Jaafar Albar, Datuk Seri Harun Idris dan Tan Sri Mohamed Rahmat.

Jelasnya, selain daripada senarai yang disebut, perkara sama berlaku juga terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri termasuk Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment