Thursday, August 06, 2015
Tuan Ibrahim Dedah Punca Sebenar DAP Marahkan PAS
Tindakan DAP yang berterusan melakukan serangan terhadap Pas atas alasan
pelaksanaan hukum hudud di Kelantan dilihat bukan perkara utama yang
menjadi kebimbangan parti berkenaan selama ini.
Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, hakikatnya,
DAP khuatir terhadap kekuatan Pas yang mampu menjadi parti utama yang
mendominasi pakatan pembangkang.
Katanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dicalonkan sebagai Perdana
Menteri, kini sedang menjalankan hukuman penjara dan sekiranya pakatan
pembangkang berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN), calon terbaik
bagi mengisi jawatan nombor satu itu ialah wakil daripada Pas.
"Kalau kita menang dalam pilihan raya ketika Anwar masih dalam penjara,
siapa akan jadi Perdana Menteri? Tidak ada orang lain kecuali Pas. DAP
tak boleh jadi Perdana Menteri sebab ada halangan Perlembagaan."
"Itu yang dia takut sangat, bukan pasal hudud. Masa itu hudud tak
berbunyi dah," katanya ketika berceramah di Markas Pas Kuala Krai di
Kelantan, semalam.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Mursyidul Am Pas yang juga
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Nik
Abdullah serta Ketua Penerangan Pas negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin
Daud.
Seterusnya, Tuan Ibrahim dalam ceramahnya turut berkata, dakwaannya itu
berasas berikutan DAP dengan Pas tidak pernah bertembung dalam mana-mana
isu, tetapi kini DAP telah pun menganggap Pas sebagai musuh utama.
"Tengok sejarah, kita tidak pernah bertembung dalam pilihan raya. Isu
Menteri Besar Selangor dan Langkah Kajang pula antara Pas dengan PKR.
Jadi apa nak marah sangat dengan Pas?" katanya.
Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan DAP yang mengatakan bahawa Pas
tidak mampu berjuang bersendirian tanpa bergabung dengan mana-mana parti
politik yang lain.
"Jangan kata begitu sebab kalau ada gabungan parti politik besar menang
pilihan raya, mungkin masih tidak dapat membentuk kerajaan kecuali
disertai parti kecil yang bersendirian."
"Masa itu, parti kecil ini mahal harganya," ujar beliau.
Selain itu, Tuan Ibrahim turut mempersoalkan mengenai kewujudan Gerakan
Harapan Baru (GHB) yang dianggap tiada nilai tambah kepada pakatan
pembangkang kerana strategi kumpulan serpihan itu bukan sahaja daripada
golongan kalah dan kecewa malah dilihat berterusan memecahbelahkan Pas
serta sekadar berkempen di Kelantan yang hanya menguntungkan pihak
lawan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment