Monday, August 03, 2015

SKMM Akan Guna Sepenuhnya Kuasa Yang Ada

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan menggunakan sepenuhnya kuasa yang mereka ada bagi menyekat laman sosial yang boleh mendatangkan ancaman terhadap kestabilan negara.
http://www.thestar.com.my/~/media/Images/TSOL/Photos-Gallery/Nation/2013/10/15/KERUAK.ashx/?w=620&h=413&crop=1&
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak berkata, langkah itu perlu kerana suruhanjaya tersebut mempunyai kekangan dalam menangani isu berkenaan.

“Saya telah berbincang dengan mereka, kita harus guna kuasa yang ada sepenuhnya. 

Tindakan bukan sahaja untuk Sarawak Report tetapi mana-mana juga laman sosial yang terlibat dalam hal ancaman. Kita kejar mereka di mana-mana laman web pun,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima tugas daripada bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam satu majlis di sini hari ini.

Mohd. Salleh yang merupakan bekas Ketua Menteri Sabah dan juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia menggantikan Ahmad Shabery susulan rombakan Kabinet 28 Julai lalu.

Dalam pada itu beliau berkata, cadangan meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 bukan untuk menyekat kebebasan rakyat menggunakan media sosial dan Internet.

Jelasnya, cadangan pindaan kedua-dua akta itu adalah untuk memastikan dunia tanpa sempadan ketika ini tidak disalah guna sehingga boleh mengancam kepada berlakunya jenayah.

“Banyak yang mengatakan kerajaan akan menutup Internet, ini tidak akan berlaku kerana ia adalah antara benda yang sangat diperlukan sekarang misalnya dalam sistem perbankan.

“Keperluan Internet ini selari dengan perkembangan dunia semasa tetapi kita tidak mahu ia di­salah guna sehingga merosakkan keharmonian negara yang dibina sejak merdeka.

“Dalam media baharu, ia bukan satu proses yang mudah seperti Sarawak Report, walaupun telah disekat tetapi mereka masih memuat turun laporan melalui Facebook dan e-mel. Jadi dengan pindaan akta ini nanti, akan ada kuasa tertentu yang dipinda,” katanya.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia dijangka membentangkan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998 pada sesi sidang Dewan Rakyat Oktober ini.

Dipetik daripada sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment