Monday, August 03, 2015
Zahid, Hisham Rangka Langkah Jernih Kekeliruan Dalam UMNO
Dua
Naib Presiden UMNO merangka usaha berstruktur untuk menjernihkan
suasana dan kekeliruan dalam kalangan anggota parti berikutan rombakan
Kabinet, Selasa lepas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata,
beliau telah berbincang dengan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
berkenaan langkah-langkah yang harus dilaksanakan bagi memberikan
penjelasan di semua peringkat.
Penjelasan termasuklah berkaitan komitmen Timbalan Presiden UMNO,
Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meneruskan perjuangan memartabatkan parti
walaupun tidak disenaraikan dalam Jemaah Menteri yang baharu diumumkan
Selasa lepas, katanya.
“Selain berbincang tentang bagaimana UMNO harus disatukan di semua
peringkat, kami selaku naib presiden parti juga membincangkan
bagaimanakah langkah-langkah yang harus diambil bagi menjelaskan
kedudukan sebenar supaya apa yang telah dilontarkan oleh Tan Sri
Muhyiddin dapat dihormati oleh semua,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan
hormat Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, di pejabatnya di sini
hari ini.
Dalam rombakan Kabinet Selasa lepas, Ahmad Zahid yang juga Menteri
Dalam Negeri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan
Muhyiddin yang digugurkan daripada barisan Kabinet.
Muhyiddin antara lain menyatakan menerima secara terbuka keputusan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak menyenaraikannya
dalam Kabinet baharu, malah komited menjalankan tugasnya sebagai
Timbalan Presiden UMNO dan membantu Najib selaku Presiden memperkukuhkan
parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Yang penting setiap anggota parti harus dijelaskan mengenai
pendirian Muhyiddin yang telah berjanji untuk melaksanakan apa yang
beliau katakan walaupun sebenarnya tidak ada faktor yang boleh
menyekatnya untuk memberikan pendapat,” kata Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid berkata, beliau dan Hishammuddin sepakat agar langkah itu
harus dilaksanakan segera bagi menghindarkan unsur-unsur luar yang
mempengaruhi segala permasalahan yang dirasakan wujud dalam kalangan
kepemimpinan parti.
“Biarpun akan mengambil masa, kami yakin usaha berstruktur
berdasarkan story board yang dirancang untuk digunakan semua kepimpinan
parti yang lain dapat menjernihkan suasana dan situasi yang agak
mengelirukan di bawah walaupun pada keseluruhannya ahli-ahli parti tetap
bersama dengan kepimpinan utama parti dan kerajaan,” katanya.
Mengenai kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian
Pertahanan, Ahmad Zahid berkata, pengalaman beliau bersama Hishammuddin
mengetuai kedua-dua kementerian memudahkan mereka melaksanakan
perancangan yang dibuat.
“Kami mempunyai jalinan kolaborasi melalui kerjasama strategi
lautan biru sejak sekian lama jadi kebersamaan dalam pelaksanaan tugas
tidak akan bertindih,” katanya.
Kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan tertutup hampir dua jam
sejurus ketibaan Hishammuddin pada 12.45 tengah hari, kunjungan sulung
seorang menteri Kabinet sejak Ahmad Zahid diumumkan sebagai Timbalan
Perdana Menteri.
Ahmad Zahid secara rasmi memasuki pejabat Timbalan Perdana Menteri di Perdana Putra hari ini.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment