Tuesday, August 04, 2015
Tabik Lah.... Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang
Ultra kiasu cauvinis dan ultra kiasu Melayu berasa hairan kenapa saya
masih diberikan ruang dan peluang menulis dalam akhbar, berceramah sana
sini, masuk dan keluar TV. Sedangkan isi kandungan ceramah saya sarat
dengan perkauman. Rasis katanya. Nak cari perhatian dan populariti.
Helo! Saya sudah dapat perhatian dan popular sejak dahulu lagi. Tak
perlu cari publisiti. Saya masih bertahan kini kerana prinsip.
Saya hanya berkata benar. Saya tidak akan menyerang jika tidak diserang.
Relaks brother! Saya mencurahkan nukilan saya kepada orang yang suka
baca dan suka dengar. Jika apa yang saya luahkan itu berbahaya, sudah
lama polis tidak teragak-agak bertindak.
Saya bukan orang Umno atau jurucakap Umno. Tidak ada siapa pun yang
melindungi saya. Saya lakukan demi agama, bangsa dan negara. Itu sahaja.
Saya warganegara yang belajar dan faham sejarah dan Perlembagaan. Jika
suatu masa nanti terpaksa masuk penjara, saya reda. Berbaloi rasanya
masuk penjara pertahankan yang hak kepada yang berhak.
Saya hidup dalam dua alam. Dididik dalam keluarga jati diri kecinaan.
Berada dalam persekitaran kampung penuh kemelayuan (sedikit keIslaman).
Saya memahami kesemuanya, walaupun mungkin tidak mendalam.
Saya kagum dengan kisah Cikgu Wong, 60 tahun, seorang ibu beragama
Buddha dari Putatan, Sabah, yang sanggup membesarkan dua anak Melayu
‘terbuang’ dan kekal sebagai seorang Islam. Terima kasih Cikgu Wong.
Andalah ibu 1Malaysia. Sifat anda sukar untuk dicari kalangan ultra
kiasu di semenanjung. Tidak hairan jika perpaduan di sana jauh lebih
baik dari di sini. Bahasa Melayu Cikgu pasti hebat.
Tidak seperti ultra kiasu di sini. Walaupun berstatus wakil rakyat,
hidup perkauman, tidak mahu berasimilasi, BM tunggang-langgang. Semua
ini mengingatkan saya ketika zaman remaja saya, melihat agak ramai
penyanyi bukan Melayu menyanyi lagu-lagu Melayu seperti DJ Dave (Irwan
Shah), AlleyCats, Kenny, Remy dan Martin; Francisca Peters dan Roy;
Andre Goh dan ramai lagi. Mereka ini amat dekat dengan hati dan diri
orang-orang Melayu. Kenapa hari ini tidak ya?
Bukan kerana tidak ada penyanyi bukan Melayu menyanyi lagu Melayu hari
ini. Ada. Sudah tentu tidak seramai dahululah. Namun, walaupun mereka
menyanyi lagu Melayu, tetapi kita tidak berasa mereka ini dekat di hati.
Pasal apa?
Jawapan mudah, artis dulu sanggup berasimilasi dan menghayati lagu
Melayu tersebut, selain dekat dengan orang Melayu. Mereka seolah-olah
seperti orang Melayu. Hari ini susah sangat nak melihat keadaan
sebegitu. Menyanyi lagu Melayu semata-mata bagi tujuan komersial atau
mendapat duit.
Tidak ada penghayatan langsung terhadap lagu Melayu tersebut. Lagu
sekadar hafalan. Sebab itu, kita lihat bila menyanyi, tidak ada
penjiwaan. Lagu sedih, mimik muka senyum. Lagu ceria, mimik muka tidak
ceria.
Justeru, dalam usaha melahirkan rakyat 1Malaysia, mereka mesti
menghayati dan sanggup berasimilasi dengan kaum majoriti. Jika
terus-menerus mahu mempertahankan identiti bangsa, bahasa dan sekolah
masing-masing, sampai mati pun kita tidak akan dapat lahirkan rakyat
1Malaysia.
Yang ada, hanya kepura-puraan. Luar lain, dalam lain. Kita hanya berjaya
melahirkan pelakon semata-mata. Saya amat bimbang kita akan tertipu.
Kita didampingi ketika ada kuasa, ada duit dan ada takhta. Bila semua
itu telah tiada, maka hai-hai, bai-bai lah jawabnya.
Sebab itu, saya amat seronok melihat warganegara Thai yang bukan Siam.
Asimilasi telah berjaya menampakkan dan menonjolkan keikhlasan mereka.
Bila berjumpa Raja Siam, terus meniarap, seperti orang Siam. Kita masih
terlalu jauh. Mengangkat sembah hormat, jauh sekali. Malah, Raja dihina
dan dikutuk. Gelaran dan pangkat tidak malu pula disauk.
Kita amat teruja dengan slogan perpaduan dalam kepelbagaian (unity in
diversity) atau Malaysia truly Asia. Itulah yang dicari dan dimahukan
ultra kiasu selama ini. Memang sedap didengar. Sedap juga dijual.
Realitinya, kepelbagaian tidak pernah menyatukan kita. Apa yang ada,
setiap bangsa pentingkan diri masing-masing. Sentuh sahaja sedikit hak
mereka, melenting tak tentu pasal.
Peliknya, bila hak dan identiti orang Melayu tercabut, tidak pula Melayu
bising. Bahasa Melayu makin hilang! Sekolah kebangsaan mahu
diliberalkan! Tanah rizab Melayu tergadai? Yang tinggal, UiTM dan
Sekolah Agama. Itu pun terus dipertikai setiap kali bila disentuh hak
mereka.
Akhirnya, yang menjadi mangsa adalah kita. Kita yang terlalu percaya
kepada orang lain, lebih daripada orang sendiri. Wahai DJ Dave dan Andre
Goh, kenapa tidak ramai orang sepertimu sekarang? Aku rindu lagu ever
green, menjelang hari raya.
Penulis oleh : Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PP1/UNISZA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment