Tuesday, August 04, 2015
Tabik Lah.... Jangan Kecewa Jika Hilang Jawatan, Tewas PRU - Mukhriz Mahathir
TANJONG KARANG : Anggota UMNO yang hilang jawatan atau tewas dalam
pilihan raya umum (PRU) dinasihatkan supaya tidak kecewa kerana segala
yang berlaku mempunyai hikmah di sebaliknya.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata
apa yang penting ialah mengambil iktibar daripada setiap kegagalan atau
kekalahan.
"Mungkin kita tiba-tiba hilang jawatan atau kalah dalam PRU atau
pemilihan parti dan mungkin itu mengecewakan tetapi percayalah, Allah
ada perancangan lebih baik untuk kita.
"Saya dalam politik terumbang-ambing ... sekejap turun, naik tetapi
lebih banyak turun di mana saya tewas pemilihan ketua pemuda dan naib
presiden. Tetapi saya tenang sahaja kerana saya tahu Allah akan beri
yang lebih baik pada saya. Tidak ada keadaan yang mustahil bagi kita,"
katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO
Bahagian Tanjong Karang di sini pada Ahad.
Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang Datuk Shamsuddin
Lias, Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang Datuk Sulaiman Abdul
Razak dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjong Karang Maruwan Ahmad.
Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah dalam pada itu menasihatkan
anggota UMNO khususnya di negeri dikuasai pembangkang supaya benar-benar
menjuarai rakyat dalam usaha mengembalikan negeri itu semula kepada
Barisan Nasional (BN).
"Seperti kami di Kedah, ketika kami kehilangan negeri ini pada PRU-12,
kami ambil pandangan daripada Terengganu yang berjaya dirampas semula
daripada pembangkang dan dari situ kami benar-benar faham apa sebenarnya
rintihan rakyat, juarainya dan kami tunjuk bagaimana nak selesaikannya.
"Kami bergerak seperti NGO dengan berkempen di sana sini dan respons
kami terima begitu luar biasa di mana kami dapati memang banyak perkara
rakyat tidak puas hati dengan kerajaan negeri.
"Saya bukan nak mengajar tetapi ingin berkongsi pengalaman, saya tahu
situasi dan pecahan penduduk di Selangor dan Kedah berbeza namun mungkin
ada sedikit iktibar untuk dicungkil dan dijadikan suntikan semangat,"
katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment