Wednesday, April 10, 2013
Pakatan Semakin Gelabah Sebab Berebut Kerusi
Oleh Nor Azlina Shaari
Tindakan parti pembangkang yang memperlihatkan lakonan hebat antara ketiga-tiga parti yang kononnya sentiasa bersepakat dalam menentukan satu-satu keputusan itu akhirnya memakan diri mereka sendiri.
Dalam menunggu masa hari penamaan calon dan hari undi ditetapkan, PKR-DAP-PAS masih lagi berbalah sesama sendiri kerana berebut kerusi yang ada.
Paling ketara untuk dilihat adalah perebutan kerusi di Johor, Terengganu, Penang, Perlis, Negeri Sembilan dan Sabah.
Sebagai contoh di Johor. Awal-awal lagi pertelingkahan mereka sudah diperlihatkan kepada rakyat apabila Ketua DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau dan Pengerusi PKR negeri, Datuk Chua Jui Meng bertikam lidah berebutkan kerusi Parlimen di Gelang Patah.
Ini kerana, kawasan tersebut adalah ‘hak milik’ parti DAP sejak dari dahulu dan merupakan benteng kuat buat mereka.
Penyudahnya, Chua ditolak ke tepi oleh Ketua Umum Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila meletakkan Lim Kit Siang sebagai calon di kawasan itu kerana beranggapan mampu membolos masuk ke kubu pertahanan UMNO dan BN.
Mungkin mahu menjaga hati Chua yang hakikatnya hanyalah sebagai ahli tumpang sahaja dalam parti pembangkang, Chua diletakkan sebagai calon kerusi di Segamat.
Belum pun sempat bertahan lama berita pencalonan Chua itu sebagai calon di Segamat, Boo mahu PKR menyerahkan satu kerusi Parlimen sebagai pertukaran kerusi Segamat.
Permintaan Boo menuntut Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya kerana berpendapat selepas PKR memiliki Segamat, kini DAP hanya akan bertanding di enam kerusi Parlimen di Johor berbanding PKR 12 dan PAS lapan.
Sebanyak 26 kerusi Parlimen dan 56 kerusi negeri yang bakal dipertandingkan di Johor pada pilihan raya umum nanti.
Ini baru sahaja berebut kerusi di negeri Johor, belum lagi di negeri-negeri lain.
Retak menanti belah, itulah sorotan paling tepat untuk menggambarkan keadaan dan kemelut politik yang sedang membelit parti-parti dalam ikatan Pakatan Rakyat sekarang.
Namun, semakin dekat tarikh PRU13 akan diumum rakyat semakin jelas melihat betapa kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat hanyalah satu drama dan wayang untuk menutup perpecahan yang bertambah melebar. Perbalahan seperti ini sama sekali tidak akan menguntungkan Pakatan Rakyat malah akan mendedahkan kelemahan perpaduan antara ketiga-tiga parti.
Apa yang berlaku kepada Pakatan Rakyat kini adalah manifestasi sifat-sifat semulajadi yang tertanam dalam diri pemimpin-pemimpin PKR-DAP-PAS. Mereka saling curiga mencurigai antara satu sama lain selain tamakkan kerusi yang ada.
Setiap parti berfikir merekalah parti yang terkuat dalam gagasan longgar Pakatan Rakyat dan hasilnya pergaduhan pengagihan kerusi berlaku untuk membolot kerusi terbanyak bagi parti masing-masing.
Hakikatnya dengan kemelut yang tidak ada penyelesaiannya dalam masa terdekat, impian Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya nampaknya hanya akan tinggal khayalan dan fantasi semata-mata.
Dipetik daripada : www. mykmu. net
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment