Wednesday, April 10, 2013
#PRU 13 Semakin Panas - Pertembungan Gergasi Politik, Pengaruh Istana? (1)
Parti Islam se-Malaysia (Pas) hari ini mengumumkan anggota kanan kerabat diraja Terengganu Dato Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad sebagai calon parti tersebut bagi Parlimen Kuala Terengganu. Pengumuman yang dibuat oleh Presiden Pas, Dato Seri Abdul Hadi Awang turut mengumumkan Datuk Husam Musa akan bertanding di Putrajaya dan Mohamad Sabu a.k.a Mat Sabu sebagai di Pendang.
Pengumuman ini menyaksikan beberapa pertembungan calon-calon “gergasi” politik antara Pakatan dan Barisan Nasional. Pencalonan Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mungkin menyaksikan satu pertarungan antara Istana dan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.
Sejak beberapa minggu lalu, Idris Jusoh disebut-sebut sebagai calon Barisan Nasional bagi Parlimen Kuala Terengganu. Jika ini benar-benar terjadi, pandangan pemerhati politik dan pengundi pasti terarah kepada Istana Terengganu. Apakah pertarungan ini direstui oleh DYMM Tuanku Sultan Mizan?
Dalam pilihan raya 2008, Istana Terengganu menolak pelantikan semula Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu sehingga menimbulkan krisis politik di negeri tersebut. Akhirnya Datuk Seri Mohd Said direstui oleh Istana bagi menjawat jawatan Menteri Besar Terengganu yang baru.
Oleh kerana Raja Kamarul Bahrin merupakan anggota kerabat Di Raja Terengganu, dan tanggapan umum Istana dn Idris mempunyai krisis yang belum selesai, orang ramai akan melihat adakah Tuanku Sultan akan mengambil jalan berpihak atau mengekalkan tradisi Raja Berpelembagaan?
Selain itu, pengumuman Husam Musa untuk bertanding di Putrajaya akan menyaksikan beliau bakal menentang Ahli Parlimen sedia ada, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Presiden Barisan Nasional telah mengumumkan Tengku Adnan akan terus kekal sebagai calon BN di Putrajaya.
Manakala Mohamad Sabu dijangka akan menentang Suraya Yaakob, bekas Ketua Puteri UMNO Kedah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Sungai Tiang.
Dipetik daripada : www. mykmu. net
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment