Wednesday, September 18, 2013
Fitnah Pembangkang : Rakyat Muak Mahukan Tindakan Tegas
Dua penggal yang lepas menyaksikan pembangkang bertindak melampaui batas peradaban . Fitnah yang melampau telah dilemparkan oleh mereka semata-mata mahu mencetuskan provokosi ataupun “psywar” untuk menukar “setting” pemikiran rakyat.
Mereka seolah-olah tidak takut dan gentar dengan kerajaan kerana terlalu yakin bahawa kerajaan terlalu pengecut untuk mengenakan sebarang tindakan tegas terhadap mereka. Pada masa yang sama juga kita boleh lihat seolah-olah sistem perundangan Malaysia telah dikuasai sepenuhnya oleh pembangkang. Oleh itu, sebarang kes dan isu yang dibawa oleh pihak pembangkang dengan senang dan mudah akan dimenangi oleh mereka. Manakala sebarang kes yang cuba diketengahkan oleh pihak kerajaan akan dengan mudah diketepikan dipermainkan dengan begitu banyak penangguhan demi penangguhan.
Rakyat sudah muak dengan senario ini. Sekiranya perkara ini terus berlarutan maka rakyat akan beranggapan bahawa kerajaan Barisan Nasional terlalu lemah sehingga tidak mampu mengambil sebarang tindakan tegas terhadap pembangkang. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah wajib bertindak tegas dan menyiasat sehingga ke akar umbi akan sistem perundangan agar ianya tidak terus dimanipulasikan oleh pembangkang.
Pihak polis melaksanakan tugas mereka dengan menahan pihak pembangkang yang bertindak melampau seperti penghinaan terhadap agama Islam, bangsa Melayu dan Tanahair namun mereka ini telah terlepas dengan mudah dengan sistem perundangan dan kehakiman yang terlampau lemah. Tindakan tegas wajib dilaksanakan untuk memperbaiki situasi ini.
Kita boleh bercakap dan berhujah dari segi perundangan dan sebagainya namun isu yang paling penting di sini adalah kerajaan yang tegas. Sistem yang digunapakai di negara kita adalah Raja Berpelembagaan. Dengan wujudnya Parlimen maka rakyat menuntut semua ahli Parlimen yang dilantik menjalankan tugas setelah dipilih oleh rakyat. Rakyat membayar gaji mereka bukan sekadar untuk “goyang kaki”.
Perlaksanaan undang-undang dari A hingga Z perlu dilaksanakan dengan tegas demi menjamin kestabilan dan keamanan negara. Pada Pilihanraya Umum ke 13 baru-baru ini, pembangkang telah membuktikan sekali lagi bahawa mereka boleh membuat fitnah sesuka hati dan kerajaan tidak akan mengenakan sebarang tindakan terhadap mereka. Sekiranya perkara ini tidak dikawal maka pada Pilihanraya Umum ke 14 nanti pembangkang akan bertindak lebih jahat dengan fitnah yang cukup untuk membunuh demokrasi dan keamanan negara.
Isu pengundi hantu warga Bangladesh serta berlaku gangguan bekalan elektrik semasa pengiraan undi pada pilihan raya umum pada Mei lalu telah dimanipulasikan sepenuhnya oleh pembangkang untuk mengganggu gugat kelancaran proses demokrasi di negara kita. Semua rakyat yang waras fikirannya tahu bahawa ini adalah satu penipuan. Namun dengan kewujudan jentera maya pembangkang yang melancarkan “psywar” dengan mengelirukan rakyat antara kebenaran dan kebatilan telah menyebabkan rakyat yang tidak berpengetahuan mudah terpengaruh dengan dakyah dan penipuan pembangkang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengemukakan saman malu kepada pihak pembangkang kerana melakukan fitnah dan mengganggu proses pilihan raya. SPR berhak mengambil tindakan tegas memandangkan mereka merupakan sebuah badan yang bertanggungjawab dalam memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lancar. Masyarakat akan beranggapan SPR tidak tegas dalam menjalankan tugas sekiranya mereka terus mendiamkan diri. Elemen fitnah itu harus dibersihkan dengan segera untuk mengelakkan penipuan itu terus berlarutan dengan membabitkan pilihan raya akan datang dan kemungkinan pembangkang boleh melakukan perkara yang lebih buruk.
Tembelang penipuan pembangkang mengenai pengundi hantu Bangladesh dan berlaku gangguan bekalan elektrik semasa pengiraan undi pada pilihan raya umum lalu terbongkar apabila diakui tidak benar oleh pemimpin DAP dan Pas. Pemikir Strategi DAP, Ong Kian Ming dalam temu bual bersama portal Free Malaysia Today dilaporkan berkata, beliau tidak mengetahui mengenai kewujudan pengundi hantu warga Bangladesh atau pun insiden gangguan bekalan elektrik sebagaimana didakwa dan bersetuju dengan penafian Pemantau Pilihan Raya (Pemantau) iaitu tidak wujud isu yang dikatakan oleh pihak pembangkang.
Rakyat mahukan kerajaan yang kuat dan tegas dalam menjaga keamanan dan kestabilan Negara. Transformasi ke arah kebaikan sememangnya amat dialu-alukan. Ekonomi dan ketegasan dalam menjamin keamanan haruslah seiring. Sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas terhadap pembangkang yang menyalahi undang-undang dan mengadaikan keamanan negara. Sistem perundang perlu dibersihkan dari kumpulan yang dimanipulasikan oleh pembangkang.
Dipetik daripada : www. mykmu. net
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment