Wednesday, January 07, 2015

Hadith Palsu: @anwaribra​him Sedang Menempah Neraka.

Posting sebelum ini Anwar Ibrahim mendapat kecaman hebat dari orang Islam di Malaysia kerana sekali lagi beliau dirakam melakukan ritual tunduk sembah mayat di upacara kematian mendiang Karpal Singh.

Seperti yang telah dijelaskan perbuatan tersebut adalah berdosa. Namun Anwar Ibrahim tidak dapat menerima teguran bahawa perbuatannya itu sesuatu yang haram dengan berdalilkan hadith yang asalnya sahih namun telah dipalsukan oleh beliau secara terang-terangan di ceramah Pakatan Rakyat pada 20 haribulan yang lalu seperti dalam rakaman di atas.


 
Hadith yang sahih sebelum dipalsukan oleh Anwar Ibrahim adalah seperti berikut:

Dari ‘Abdurrahmaan bin Abi Lailaa, ia berkata: Sahl bin Hunaif dan Qaid bin Sa’d pernah bertugas di Al-Qaadisiyyah. Telah lalu jenazah di hadapan mereka, lalu keduanya pun berdiri. Dikatakan kepada mereka berdua: “Sesungguhnya jenazah itu adalah orang dari kalangan Ahludz-Dzimmah. 

Mereka berkata: “Sesungguhnya pernah lalu satu jenazah di hadapan Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam, lalu beliau berdiri. Dikatakan kepada beliau: ‘Sesungguhnya ia adalah jenazah orang Yahudi’. Beliau shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda: ‘Bukankah ia juga manusia” [Diriwayatkan oleh Bukhaariy no. 1313, Muslim no. 960, An-Nasaa’iy no. 1921, dan yang lainnya].

Ada banyak hadith sebegini telah diriwayatkan samada sahih atau lemah namun tidak ada satu pun yang meriwayatkan Nabi menundukkan kepala kepada mayat yahudi tersebut. Lihat perbahasan ilmiah seputar hadith Nabi berdiri hormat jenazah di sini.

Jelas di sini Anwar Ibrahim telah melakukan satu pendustaan ke atas Nabi dengan memalsukan hadith baginda shallallaahu ‘alaihi wa sallam. Tidak perlulah bercerita panjang dan berdalih jika ianya melibatkan pendustaan ke atas Nabi. Kami menasihatkan supaya Anwar Ibrahim bertaubat, menarik balik kata-katanya. 

Janganlah ingin membenarkan perbuatannya melakukan ritual tunduk sembah mayat di upacara kematian mendiang Karpal Singh, maka beliau sanggup berdusta ke atas Nabi. Sesungguhnya Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam telah memberi amaran yang sangat keras berkenaan hal ini:

“Barangsiapa yang menyebutkan sesuatu dariku sedangkan aku tidak pernah menyebutnya, maka dia telah menempah tempat duduknya di dalam neraka” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari – no: 109]



Sebagai umat Islam kita mesti sensitif apabila seseorang berdusta ke atas Nabi sebegini. Perkara ini tidak boleh diambil mudah. Dan kami memohon JAKIM atau pihak berkuasa mempercepatkan proses mewartakan undang-undang berkenaan isu hadith ini. 

Tidak perlu berasa malu jika tidak melakukan ritual tersebut. Jika kita mempraktikkan tuntutan agama Islam dengan tidak tunduk sembah mayat Karpal Singh, tidak bermakna kita tidak menghormati agama mereka. 

Allahua’lam…

Dipetik daripada : http://www.abuaqifstudio.com/2014/04/hadith-palsu-anwaribrahim-sedang.html

1MDB Masalah Kerajaan, Anwar Tak Payah Sibuk-Sibuk

demi rakyat_konon
7 Januari 2015 : BILA berlaku bencana banjir dan batang tubuh Anwar serta culai-culainya tidak dilihat dimana-mana untuk membantu mangsa banjir, alasan Anwar (selain tidak ada tiket kapal terbang) ialah tugas menguruskan bencana banjir ini adalah tugas Datuk Seri Najib Tun Razak, bukan kerja dia katanya.

Oklah, kita terima.  Memang itu tugas Najib pun dan Najib sudah melaksanakan tugas itu dengan baik dan sempurna, termasuk di negeri yang pembangkang perintah, Kelantan.  Lagipun semua orang tahu Anwar hanya pandai cakap, bukan reti buat dan dia sentiasa guna ungkapan “tunggu saya jadi Perdana Menteri dulu” kalau nak berkhidmat kepada rakyat.

Tapi dalam masa yang sama, kenapa Anwar dan culai-culainya boleh sibuk dalam hal lain yang juga menjadi tanggungjawab kerajaan dibawah pimpinan Najib seperti 1MDB?

Kenapa dalam hal banjir guna alasan itu tugas Najib tapi dalam hal 1MDB Anwar dan culai-culainya nak sibuk-sibuk pulak?  Biarkanlah kerajaan uruskan macam mana pun syarikat tu, nak ganti Pengarah Urusan ke nak ganti tukang cuci ke apa, yang Anwar apa nak sibuk-sibuk?

Jika Anwar kata sebagai ketua pembangkang dia ada hak, dimanakah ‘hak’ itu pergi bila rakyat dilanda musibah teruk di Kelantan.  Kenapa hak untuk mewakili rakyat ini boleh berpilih-pilih, dalam hal ini (1MDB) aku ada hak, dalam hal lain (banjir), itu kerja Najib.

Menunjukkan bahawa, Anwar hanya interframe bila ada bahagian yang menyebelahi dia.  Macam banjir di Kelantan, dimana hampir semua agensi kerajaan negeri Kelantan gagal berfungsi, ahli Parlimen Pakatan dari PAS pun ramai yang hilang dari kawasan semasa banjir dan sebagainya, itu Najib punya hal, aku takdak kena mengena pasal bukan Perdana Menteri.

Nak bagi mudah pemahaman, dalam keadaan macam ini dimana rakyat nak lihat penyelesaian segera, Najib yang pikul semua, Anwar balik pada realiti bahawa dia tidak boleh buat apa sesuatu pun untuk menyelesaikan masalah tersebut walaupun Kelantan adalah negeri yang PAS perintah – PAS adalah komponen Pakatan Rakyat yang Anwar tubuhkan.

Tapi bila ada soal yang kabur, kelabu sana sini macam 1MDB, masa itulah Anwar cuba nak jadi hero, konon nak selamatkan duit rakyat dan sebagainya.  Kenapa masa ini Anwar tak kata itu masalah Najib?  Sebab, dalam hal macam ini Anwar ada kelebihan untuk tonjolkan diri.

Anwar ni macam Hitler dalam era perang dunia ke dua.  Bahagian ‘bung bang bung bang’ depan rakyat sampai bersembur air liur macam hebat, dialah orangnya. Tapi diakhirnya, kalah juga perang dan dalam kes Hitler, terpaksa bunuh diri dibawah kubu bawah tanah di Berlin.

Anwar, penulis tak tahu macam mana penyudah nasibnya, mungkin tak bunuh diri macam Hitler kot, setakat kembali merengkok dalam penjara sebab buat hal tak pakai kondom.

Disediakan oleh : EDITOR

Hujan Monsun Dijangka Bermula Esok Hingga Jumaat

6 Januari 2015 : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah pun mengeluarkan amaran bermula esok hingga hari Jumaat nanti akan berlaku hujan monsun yang mungkin menyebabkan berlakunya hujan lebat dan angin kencang serta ribut di negeri-negeri Pantai Timur, Johor serta Sabah.

Walaupun apa yang dinyatakan oleh MetMalaysia itu sekadar ramalan yang bersandarkan teknologi kaji cuaca yang belum tentu akan terjadi, namun tak salah untuk kita sama-samalah berdoa andainya benar ramalan cuaca itu mudah-mudahan hujan yang turun nanti tidaklah sebegitu lebat seperti sebelumnya.

Untuk rekod, banjir yang berlaku di Kelantan sebelum ini salah satu puncanya disebabkan hujan yang luar biasa lebatnya di sekitar Hulu Kelantan (Gua Musang & Kuala Krai) yang berterusan selama tiga hari dengan merekodkan taburan hujan sebanyak 1,295 milimiter yang bersamaan dengan taburan hujan untuk selama 64 hari berturut-turut.

Curahan hujan yang luar biasa lebat itu kemudiannya diburukkan lagi dengan keadaan beberapa kawasan hutan dan bukit-bukit di Hulu Kelantan yang gondol akibat aktiviti pembalakan dan penerokaan tanah yang tak terkawal. Ditambah lagi dengan sampah sarap aktiviti pembalakan dan kayu balak yang menyekat aliran air sungai akhirnya menyebabkan air melimpah dan menderu laju membanjiri daratan.
KUALA LUMPUR 6 Jan. – Satu lagi episod hujan monsun yang akan menyaksikan hujan beserta angin kencang dijangka berlaku bermula Rabu (7 Januari) hingga Jumaat (9 Januari) ini di beberapa negeri yang dilanda banjir sebelum ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan hari ini berkata, negeri yang terlibat ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan beberapa bahagian di Sabah iaitu di Pantai Barat, Kudat, Sandakan dan Tawau.
Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah, menurut jabatan itu.

Justeru MetMalaysia mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa mengikuti perkembangan cuaca terkini.

Amaran angin kencang dan laut bergelora iaitu angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang dikeluarkan 4 Januari lepas juga akan berterusan sehingga Jumaat (9 Januari) ini.

Dalam tempoh itu juga orang ramai diinasihatkan supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti rekreasi atau sukan laut berikutan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada bot-bot kecil.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini cuaca melalui talian hotline MetMalaysia di 1-300-22-1638, laman web www.met.gov.my atau laman sosial Facebook dan Twitter MetMalaysia. – BERNAMA / UTUSAN


Amaran Hujan Lebat Peringkat Kuning 07-09-01-2015

Bantuan Awal Persekolahan Mula Diagihkan

7 Januari 2015 : Bagi sebahagian besar ibu bapa pelajar sekolah rendah dan menengah, berita mengenai Bantuan Awal Persekolahan yang mula diagihkan sejak semalam tentunya disambut dengan penuh kelegaan dan kesyukuran.

Sebelum ini ramai yang menjangkakan mungkin seminggu selepas sesi persekolahan bermula baru bantuan tersebut dapat dituntut, rupanya kali ini ia telah diawalkan berikutan musibah banjir yang melanda beberapa negeri.

Nilai bantuan RM100 bagi setiap pelajar mungkin bagi sesetengah pihak ia dirasakan kecil atau sedikit tapi bagi ramai ibu bapa yang kenal erti kesyukuran pasti mereka berbesar hati menerima bantuan ini.

Ibu bapa yang kesuntukan wang ringgit selepas berbelanja membeli pakaian dan kelengkapan sekolah anak-anak sebelum ini, dapatlah memanfaatkan wang bantuan ini untuk cover semula kewangan mereka.

Ibu bapa yang mempunyai ramai anak yang sedang bersekolah sudah tentunya paling terkesan dan menarik lafaz lega yang panjang sebaik menerima bantuan tersebut. Kurang sedikit tekanan perbelanjaan mereka.

Pelajar-pelajar dari keluarga kurang berkemampuan yang belum ada pakaian, kasut dan lain-lain keperluan sekolah kini boleh tersenyum gembira kerana dengan wang bantuan inilah keperluan persekolahan mereka dapat disediakan.

Dengan adanya bantuan awal persekolahan ini juga para ibu bapa yang menjadi mangsa banjir di Kelantan, Pahang, Terengganu, Johor dan beberapa negeri lain dapat memanfaatkannya bagi membeli semula baju sekolah yang hanyut atau rosak.

Demikian besar maknanya pemberian bantuan kewangan persekolahan ini bagi ramai ibu bapa tatkala ia dirasakan kecil oleh sesetengah pihak. Apa pun terima kasih tak terhingga kepada Kerajaan Pusat kerana prihatin dengan keperluan rakyat.
KOTA BHARU 6 Jan. Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia sebanyak RM100 yang diperuntukkan kepada 5.6 juta murid dan pelajar di seluruh negara boleh dituntut di sekolah masing-masing bermula hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, agihan bantuan tersebut dipercepatkan bagi meringankan beban ibu bapa terutama mangsa banjir untuk membuat persiapan sebelum sesi persekolahan bermula Ahad dan Isnin ini.

Beliau berkata, bagi sekolah yang masih tidak dapat digunakan akibat bencana alam itu, ibu bapa boleh membuat tuntutan di sekolah berhampiran yang ditetapkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah.

“Agihan bantuan RM100 kepada murid bermula hari ini, telah ada peruntukan, kita sudah bagi waran kepada Pengarah Pendidikan negeri maka RM100 boleh dituntut.

“Kita mahu supaya pembayaran dilaksanakan dalam tempoh segera, arahan saya telah keluarkan petang ini dan kita mulakan penyampaian bantuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Koordinasi Pelan Tindakan Pasca Banjir di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Tan Sri Shukry Mohd. Salleh; Panglima Ang­katan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, pihaknya sedang berusaha untuk memastikan sesi persekolahan pada tahun ini berjalan mengikut jadual biarpun telah ditangguhkan selama seminggu kerana banjir sebelum ini.

“Ada beberapa pilihan yang kita fikirkan mengikut keadaan umpamanya, sekolah yang masih didia­mi oleh mangsa banjir dan belum boleh dibuka, cadangan kita, adalah pelajar boleh menumpang di sekolah berhampiran, itu Pengarah Pendidikan negeri dan Pegawai Pendidikan Daerah akan tetapkan.

“Kalau tidak ada tempat langsung mungkin kita akan tangguhkan sedikit waktu, tetapi penting kita tetapkan sebaik mungkin mengikut jadual.

“Di Kelantan terdapat 90 buah sekolah terjejas tetapi 30 peratus sudah mula dibersihkan, ada berbaki lagi, dalam tempoh seminggu perlu segera dibersihkan, kita lihat bagaimana keadaan, harap tidak terganggu jadual persekolahan murid,” katanya. – UTUSAN

RM800 Juta Bantu Mangsa Banjir Terlalu Melampau Jumlahnya?

7 Januari 2015 : Apabila Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan mengumumkan setakat ini hampir RM800 juta telah dibelanjakan bagi mengerakkan operasi membantu penduduk di beberapa negeri termasuk Kelantan yang terjejas dengan musibah banjir besar maka ramailah pemimpin PR yang melalak mempertikaikan jumlahnya.

Ada yang secara sinis menganggap jumlah tersebut nampak melampau dan tidak masuk akal dengan alasan wujud kelemahan dalam pengurusan banjir kali ini dan ada juga pemimpin PR yang cuba menimbulkan spekulasi kononnya berlaku ketirisan justeru itu didesak supaya dilakukan audit ke atas semua perbelanjaan tersebut.

Di kalangan penyokong taksub PR pula terutama sekali dari PAS dan PKR macam biasa cuba bermain dengan propaganda murahan dengan menyelit komen-komen berbaur fitnah dengan mendakwa hanya sebahagian kecil sahaja dari peruntukan itu yang sampai kepada mangsa banjir, selebihnya kata mereka masuk poket pemimpin BN.

Semua reaksi negatif dari pemimpin PR dan penyokong mereka itu mudah untuk faham tujuannya. Biasalah bila melibatkan soal kewangan Kerajaan Pusat tambahan pula dengan jumlah sebesar RM800 juta itu jika dapat disensasikan hingga menimbulkan spekulasi buruk di mata rakyat maka mereka mengharapkan keuntungan politik untuk PR.

Perangai begitu jelas menunjukkan tahap kronik betapa busuknya hati pemimpin PR. Kalau mereka bukan jenis busuk hati dah tentu mereka faham peruntukan berjumlah RM800 juta yang telah dibelanjakan itu tidak hanya melibatkan kos makan minum kepada mangsa banjir semata-mata tetapi turut merangkumi kos operasi logistik.

Apa sangatlah belanja berjumlah RM800 juta demi nak menjaga kepentingan lebih 250,000 mangsa banjir dan berjuta lagi rakyat yang terjejas akibat bencana ini. Jumlah RM800 juta itu tak melampau pun sebaliknya bila kita halusi sebenarnya masih banyak lagi peruntukan diperlukan untuk mengurus bencana banjir dan mangsa yang terlibat.

RM800 juta bila dibahagikan dengan 250,000 orang mangsa banjir yang terlibat termasuk gampir 160,000 orang di Kelantan secara purata setiap mangsa banjir diperuntukan RM3,200. Tapi bagi yang cetek akal mereka membuat kesimpulan yang jumlah RM3,200 itulah kos yang dibelanjakan Kerajaan bagi menanggung makan minum setiap mangsa banjir.

Walhal dalam mengendalikan operasi menyelamatkan rakyat dari musibah banjir besar ini kos RM800 juta itu seperti penulis nyatakan awal tadi turut melibatkan kos logistik dan proses penbersihan pasca banjir. Ahmad Maslan pun sudah jelaskan dalam kenyataannya itu tapi puak PR masih juga buat-buat bodoh sombong.

Sekadar untuk pencerahan, untuk pengetahuan semua setiap kali pesawat C130 terbang membawa bekalan makanan untuk dihantar ke negeri yang dilanda banjir, pesawat itu perlu diisi dengan minyak yang kosnya mencecah RM50,000 untuk sekali penghantaran. Setiap hari pesawat C130 ini melakukan 8 penghantaran bekalan bantuan.

Sekali terbang C130 bawa bersamanya bekalan bantuan yang beratnya mencecah 18 tan. Setakat ini beratus-ratus tan barangan keperluan untuk mangsa banjir dihantar menggunakan pesawat tersebut. Hampir tiga ribu tan lagi dihantar melalui jalan darat.

Sejak dari awal banjir berlaku hingga kini sebanyak 3 pesawat C130 beroperasi dengan setiap satunya melakukan 8 kali tugasan penghantaran. Jika dalam tempoh 10 hari pesawat-pesawat itu beroperasi sudah RM12 juta hangus untuk bahan api sahaja. Bukan murah kosnya.

Dah selesai pesawat C130 hantar bekalan bantuan, kenderaan seperti lori tentera dan milik sewa pula digunakan untuk hantar ke pusat pemindahan. Beratus-ratus buah lori dan kenderaan pacuan empat roda digunakan. Semua kenderaan ini memerlukan bahan bakar untuk bergerak, kalau kita sumbat dengan air banjir nanti meragam pula enginnya.

Di sesetengah kawasan lori tak dapat masuk ke kawasan pemindahan, jadi nak tak nak kena guna bot tentera, polis dan bomba. Bot tak cukup kita perlu sewa dengan dengan pihak swasta atau individu. Sekali lagi minyak perlu di isi kalau isi setakat RM10 cukupkah? Dah tentu tak cukup.

Ada tempat di Kelantan, Pahang dan Terengganu tak dapat dimasuki lori dan bot, maka kerajaan mengerahkan penggunaan helikopter untuk hantar bantuan. Kos bahan api helikopter sekali penerbangan anggaran lebih kurang RM4,000 hingga RM6,000 hangus. Kalau setakat isi RM100 sahaja minyaknya dah tentu tak ke mana-mana helikopter tersebut.

Dan jangan lupa setiap beberapa kali penerbangan C130 dan helikopter perlu ada proses selenggaranya. Dah tentu kosnya bukan sekadar RM100. Demikian halnya dengan lori-lori dan pacuan empat roda yang diguna pakai bila kerap digunakan ada waktunya perlu juga berehat sekejap untuk diselenggara membetulkan mana yang kurang.

Nak angkat barangan bantuan pula kena guna tenaga manusia. Tentera, polis, bomba, jabatan pertahanan awam dan petugas kerajaan yang bertanggungjawab dengan urusan ini kita tanggung makan minum mereka dan diberi elaun tugasan luar dan kerja lebih masa. Jumlah mereka bukannya 10 atau 20 orang, tapi berpuluh ribu orang. Semuanya ini melibatkan wang.

Untuk angkut semua petugas dan kakitangan kerajaan berkhidmat di kawasan ke negeri-negeri yang dilanda banjir juga membabitkan kos. Ada kos sewa kenderaan, ada kos upah pemandu, ada kos minyak dan macam-macam lagi.

Bila menguruskan orang ramai yang bersesak di pusat pemindahan, nak tak nak kena sediakan ambulan dan pusat rawatan bergerak untuk kemudahan perubatan. Ada ambulan sahaja tak cukup, kena juga ada doktor dan jururawat. Itu juga melibatkan kos.

Di sesetengah pusat pemindahan banjir pula kerajaan tugaskan ramai kaunselor untuk mengurus emosi mana-mana mangsa banjir yang terganggu dengan fikiran mereka kerana musibah ini. Itu pun kos juga.

Dah selesai semua itu, bagi sesetengah tempat yang memasuki fasa pasca banjir memerlukan pula proses pembersihan. Nak cuci sekolah, jalan raya, balai polis dan lain-lain tempat kemudahan awam setakat guna pancuran air biasa tak begitu efisien. Kena ada mesin pancutan air yang berkuasa tinggi. Itu pun bukan percuma.

Untuk kawasan yang dipenuhi sampah sarap pembalakan kerajaan terpaksa sewa atau upah pemilik jentolak untuk bersihkan jalan raya dan sungai. Kayu balak yang merintangi jalan raya dan rumah penduduk, nak angkat beramai-ramai guna kudrat manusia tak terdaya, jadi kena juga panggil dan sewa jentolak dan lori balak untuk mengangkatnya.

Pendek kata bila melibatkan pengurusan bencana banjir yang menenggelamkan Kelantan serta membanjiri beberapa negeri lain dan menjejaskan ratusan ribu orang, suka atau tidak kita kena terima hakikat banyak wang ringgit akan terbang melayang. Tapi demi kepentingan rakyat tiada salahnya.

Setakat bercakap mempertikaikan itu ini semata-mata nak wujudkan spekulasi dan persepsi buruk memang mudah sebab yang buat kerja rumit setia berkhidmat dari awal sampai akhirnya pihak kerajaan juga.

Disediakan oleh : EDITOR

Arul Kanda Kandasamy CEO baru 1MDB beragama Islam

8 Januari 2015 : Pelantikan Arul Kanda Kandasamy sebagai presiden baru dan pengarah eksekutif kumpulan syarikat milik kerajaan – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) – menjadi perbualan panas di dunia korporat dan di kalangan media.

Sejak berita pelantikannya menerajui syarikat itu diumumkan, Arul kanda telah digambarkan sebagai seorang pakar dalam menyelamatkan perniagaan yang bermasalah.

Latar belakang pendidikannya yang mengagumkan dan kedudukan sebelumnya dalam pasaran kewangan London dan Abu Dhabi, turut menceritakan tentang kehebatan pengalaman dan kemampuannya.

Malah pembangkang pun mengakui pelantikan Arul berdasarkan kepada merit, dengan orang seperti Naib Presiden PKR Rafizi Ramli – pengkritik utama pengurusan 1MDB – menggambarkan Arul sebagai seorang yang pintar dan meyakinkan

Tetapi di tengah-tengah persekitaran itu, terdapat satu perkembangan menarik yang dilihat penting bagi Umno.

Apabila nama Arul Kanda disebut dan gambarnya disiarkan, terdapat cakap-cakap bahawa syarikat yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu, kini diletakkan di tangan seorang bukan Melayu untuk dipulihkan.

Arul menggantikan ketua pegawai eksekutif Melayu, iaitu Mohd Hazem Abdul Rahman, yang telah meletak jawatan.

Mungkin kebimbangan ini dapat menjelaskan kapsyen yang mengiringi gambar Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Arul Kanda di akaun Twitter ketua penerangan Umno itu.

Dalam kapsyennya Ahmad Maslan menulis bahawa beliau telah bertemu Arul di pejabatnya petang ini.

Beliau mendedahkan bahawa bos baru 1MDB itu berusia 38, berasal dari Kuala Lumpur dan mengakhiri kapsyen itu dengan perkataan “beragama Islam”.

Sumber : Malaysiakini

KDN Tidak Akan Kompromi Dengan Penyebaran Fitnah

8 Januari 2015, KOTA BHARU – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang sengaja menimbulkan fitnah di media sosial dan memburukkan kerajaan berhubung saluran bantuan dalam bencana banjir yang berlaku baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya bukan sahaja memandang serius berhubung hal terbabit malah akan mengambil tindakan segera menangkap individu terlibat.

“Kita tidak pandang enteng isu ini malah jika ada pihak yang sengaja memburukkan kerajaan dan menimbulkan fitnah mereka akan dikenakan tindakan segera.

“Ini perlu memandangkan mereka sengaja menimbulkan kekeliruan yang kononya kerajaan pilih bulu dalam soal menyampaikan bantuan dalam bencana banjir besar yang melanda beberapa negeri di pantai  timur,” katanya kepada media ketika melawat dua pegawai yang cedera dalam insiden helikopter terhempas di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, malam tadi. – SINAR HARIAN

Anak Kelantan Di Perantauan Pulanglah Beri Sokongan Kepada Mangsa Banjir

8 Januari 2015 : Rakyat Kelantan di perantauan disaran pulang bagi memberi sokongan moral kepada keluarga mereka yang mengalami kesan banjir.

Perunding Psikologi dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali berkata, kemurungan yang melanda mangsa banjir itu hanya boleh diubati apabila mereka merasakan ada orang sekeliling yang prihatin dengan apa yang terjadi.

“Keprihatinan ahli keluarga amat diperlukan ketika ini di samping sokongan daripada orang sekeliling untuk menggambarkan bahawa mereka tidak berseorangan menghadapi apa yang berlaku.

“Mangsa-mangsa yang terjejas ini perlu diingatkan untuk terus bersyukur kerana mereka masih diberi kesempatan untuk hidup walaupun berdepan dengan musibah besar,” katanya.

Menurutnya, mangsa banjir tidak seharusnya ditinggalkan bersendirian dan ahli keluarga diminta sentiasa berhubung dengan mereka walaupun melalui telefon.

Kelmarin, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menempatkan seramai 85 pegawai psikologi di kawasan terjejas banjir di seluruh negara bagi membantu mengurangkan trauma dialami mangsa bencana itu.

Sementara itu, Pensyarah Pengajian Sains Sosial Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugan Pandian berkata, selain ahli keluarga, sokongan itu juga perlu datang daripada pihak pentadbir dengan melakukan pemulihan segera di kawasan yang terjejas.

“Di peringkat pasca banjir, mangsa melihat banyak kemusnahan harta benda. Jadi, pihak bertanggungjawab seperti agensi yang ditugaskan untuk membersihkan kawasan atau membaik pulih kawasan terjejas perlu menyegerakan tugas itu.

“Langkah ini juga boleh membantu pulihkan emosi mangsa. Sebab itu kita perlukan sistem sokongan daripada pelbagai pihak,” katanya.

Namun katanya, individu itu sendiri juga perlu kuat untuk bangkit daripada krisis bencana yang dialami.

“Mereka yang terjejas diingat mengurus krisis ini dengan baik agar ia tidak mengundang masalah lain. Maksudnya, jika dibiarkan bergelut dengan apa yang berlaku, ia boleh memberi kesan pada persekitaran mereka dan akhirnya masa depan,” katanya.

Menurut Sivamurugan, pemulihan daripada pembangunan sekeliling adalah fokus utama ketika ini dan sekiranya proses itu berlaku dengan perlahan, ia akan memanjangkan lagi tempoh trauma mangsa. – SINAR HARIAN

Perdana Menteri Kembali Bertugas

7 Januari 2015, Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Tun Razak kembali bertugas hari ini selepas bercuti rehat berikutan terkena jangkitan bakteria Escherichia coli (E.coli) dengan mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya.

Perdana Menteri dalam catatan Twitternya berkata: “Alhamdullilah, kembali kerja hari ini.
” Terima kasih kepada semua, termasuk rakan-rakan online yang telah doa bersama ucapan-ucapan cepat sembuh,” katanya.

Dalam satu lagi tweet, Najib berkata, agenda utama mesyuarat Kabinet hari ini adalah membincangkan isu berkaitan banjir dan usaha untuk membantu mangsa banjir yang terjejas.

Najib turut memuatkan gambar beliau dan beberapa menteri Kabinet, termasuk Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang menghadiri mesyuarat itu.

Najib sebelum ini dilaporkan terkena jangkitan E. coli semasa melawat kawasan banjir di beberapa negeri baru-baru ini dan telah dinasihatkan doktor supaya berehat.

Sehingga pukul 1 petang, masih terdapat sebanyak 18,171 orang mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Pahang, 4,771 orang di Perak dan 3,984 orang di Kelantan. – BERNAMA / UTUSAN

Hati-Hati Sumbang Derma Untuk Elak Terpedaya

7 Januari 2015, KEMAMAN – Polis menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan pelbagai kutipan bantuan kemanusiaan yang kononnya untuk didermakan kepada mangsa banjir.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, mereka yang ingin menghulurkan bantuan harus menyemak terlebih dahulu pertubuhan ataupun individu berkenaan bagi memastikan kesahihannya.

Beliau berkata ia juga bagi mengelak mereka menjadi mangsa penipuan terhadap perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan di atas bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.

“Selepas banjir, kita lihat seperti cendawan tumbuh selepas hujan, banyak pihak membuat kutipan dan sebagainya, namun bantuan yang kita hulurkan itu disampaikan kepada mangsa atau sebaliknya?

“Kita puji sikap prihatin untuk membantu mangsa dengan melancarkan bantuan dan kutipan tetapi pastikan tidak tertipu dan sumbangan yang dihulurkan itu diterima mangsa banjir,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Justeru, Jamshah berkata masyarakat yang ingin menderma perlu menyalurkan bantuan tersebut kepada saluran yang betul seperti Tabung Mangsa Banjir NSTP-Media Prima ataupun menerusi pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung perkara tersebut, namun akan terus memantau agar orang ramai tidak menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Kita memandang serius perkara ini dan pemantauan akan dilakukan bagi mengelak orang ramai ditipu,” katanya. – Bernama

CEO AirAsia Nafi QZ8501 Terbang Tanpa Permit

7 Januari 2015, SHAH ALAM – Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menafikan pesawat QZ8501 melakukan penerbangan tanpa permit.

Tegasnya, pihak AirAsia mempunyai hak penuh untuk melakukan mana-mana penerbangan mengikut jadual selama tujuh hari dalam seminggu.

“Kami mempunyai hak untuk menggunakan laluan penerbangan Surabaya-Singapura.

“Pihak kami telah mendapatkan kelulusan daripada kedua-dua pihak; Indonesia dan Singapura. Apa yang berlaku adalah satu kesilapan pentadbiran semata-mata,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi menyanggah kenyataan Menteri Pengangkutan Indonesia, Ignasius Jonas Selasa lalu yang mendakwa penerbangan pesawat QZ8501 telah melanggar waktu operasi laluan yang dibenarkan.

Portal berita Indonesia, Kompas.com baru-baru ini mendedahkan syarikat penerbangan itu melanggar surat kebenaran yang dikeluarkan Ketua Pengarah Penerbangan Awam bertarikh 28 Oktober yang menyatakan syarikat penerbangan itu hanya dibenarkan berulang-alik menggunakan laluan itu pada Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu.

Sehubungan itu, AirAsia Indonesia didapati melanggar permit dengan menggunakan laluan itu pada 28 Disember lalu, di mana penerbangan QZ8501 yang membawa 162 penumpang dan anak kapal terhempas di Laut Jawa.

Bagaimanapun, menurut satu kenyataan Kementerian Komunikasi Awam Indonesia, penggantungan laluan penerbangan tersebut akan dipertimbangkan semula selepas penyiasatan Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia, selesai. – SINAR

Air Mengalir Ke Atas Dan Lumpur Turun Dari Langit

8 Januari 2015 : SEORANG rakan mengajak sesiapa yang mempunyai masa untuk pergi berjalan-jalan mudik ke Hulu Sungai Aring, di Gua Musang untuk memerhatikan wajah bukit-bukau di sekitar kawasan itu.

Kawasan tersebut merupakan sebahagian daripada laluan air hujan yang mencurah dengan banyak di persekitaran Gunung Gagau, mengalir masuk ke sungai Lebir, menyatu dengan sungai Nenggiri dan membentuk aliran Sungai Kelantan.

Begitu luas kawasan yang ditarah dan bila banyak hujan mencurah dalam tempoh tiga hari sahaja, bersamaan lebih dua bulan kadar taburan hujan, boleh disedari apa yang berlaku. Banjir lumpur.

Tanpa pokok-pokok sebagai benteng dan akar yang menyerap, air akan menghakis tanah-tanah tinggi, turun dengan deras membawa lumpur melalui laluan yang tidak cukup besar dan diburukkan lagi dengan fenomena air pasang besar dan laut bergelora ketika itu.

Baginya, bukanlah suatu yang menghairankan apabila bencana seburuk Disember lalu akhirnya berlaku dengan begitu banyak lumpur yang mengalir ke Sungai Kelantan dan melimpahkan amarah alam dan ‘lumpur tidak turun dari langit’.

Pimpinan politik di Kelantan menafikan pembalakan dan kemusahan alam di kawasan Hulu Kelantan sebagai punca yang memburukkan keadaan, namun tidak pula menafikan cerita-cerita yang diratib bersama kalangan rakyat negeri itu, kononnya Empangan Kenyir Kedua menjadi punca.

Seolah-olah segala resah dan kepayahan yang dilalui rakyat dan sukar dibantunya itu mahu dibendung agar tidak menjejaskan reputasi politik parti dengan `mengalirkannya’ semula kepada empangan itu.

Namun ramai yang masih percaya dan mereka nampaknya berjaya walaupun penafian dibuat oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana mereka juga berjaya menyogok fahaman untuk berprasangka dengan setiap laporan media arus perdana.

Walhal kita tidak perlu terlalu bijak untuk mudah percaya kerana air tidak akan mengalir ke atas, mendaki ke kawasan tinggi untuk membanjiri Kelantan bagi menyelamatkan Terengganu daripada tengggelam.

Projek Kenyir Dua di Tembat jauh lebih rendah dari tanah tinggi Banjaran Titiwangsa yang menjadi pemisah dua buah negeri berjiran itu.

Takungan air sungai Tembat akan disalurkan melalui terowong ke Tasik Puah yang di bawahnya dan kemudiannya menurun ke Tasik Kenyir.

Garis ketinggian topografi sekitar banjaran yang menjadi sempadan kedua-dua negeri sekitar 800 hingga 1,000 meter, justeru di mana rasionalnya air Sungai Tembat mampu untuk mendaki setinggi 200 hingga 400 meter bagi mencurah tadahan air dari negeri Terengganu ke Kelantan?

Bencana ini bukan sahaja ujian kepada rakyat tetapi juga kepada mana-mana kerajaan dan dan pemimpin namun selain berdoa, kita perlu berusaha menanganinya dengan mengambil iktibar daripada bebanan, kesengsaraan dan kerugian besar yang ditanggung.

Disember akan tetap datang lagi, mungkin sekali lagi dengan langit yang lebih mencuka. Ini ketikanya untuk bersama.

Janganlah lagi kedengaran mendoakan kemusnahan terhadap bangsa seagama yang kian lemah kerana mungkin ini permulaan kepada makbulnya doa mereka itu. – UTUSAN

Mangsa banjir boleh terima bantuan zakat

8 Januari 2015 - Mangsa banjir boleh menerima bantuan zakat mengikut kriteria tertentu yang diputuskan oleh mufti di setiap negeri, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha.

Beliau berkata selain golongan miskin atau asnaf yang terjejas akibat banjir, mangsa lain juga boleh menerima zakat jika diletakkan di bawah kategori Al-Gharimin yang juga berhak menerima zakat.

“Sebelum ini pun memang ada negeri yang letak bencana seperti ini di bawah Al-Gharimin, maknanya ada bahagian-bahagian yang boleh dipertimbangkan oleh mufti.

“Kali ini pun pasti ada…kalau orang itu miskin dan terjejas pula dengan banjir, bertimpa-timpa masalah, jadi mereka sudah tentu boleh diberi zakat tetapi untuk banjir ini kita anggap fisabilillah,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melepaskan pasukan bantuan pasca banjir Ekspedisi Kasih dan Kemanusiaan Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Agama (PKPU) Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Othman berkata sebanyak 14 kenderaan terlibat dalam misi itu yang membawa 88 sukarelawan serta bantuan dalam bentuk kewangan dan barangan seperti kit ibadah, peralatan sekolah serta barang keperluan seperti tong gas, kuali, periuk dan tilam yang bernilai lebih RM200,000.

Menurutnya, bantuan itu akan dihulurkan kepada kira-kira 450 keluarga di beberapa kawasan iaitu Temerloh, Gua Musang, Kuala Krai, Kota Baharu, Jeli, Tumpat, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas.

“Fokus bantuan fasa kedua ini adalah pegawai-pegawai Jakim, pelajar Darul Quran, pegawai masjid, penggerak masyarakat dan Orang Asli yang terjejas akibat banjir,” katanya.

Bernama

Silbi Natiays aka Iblis Syaitan Ditahan Polis Sebar Berita Palsu Berkaitan Banjir

Silbi Natiays aka Iblis Syaitan Di Tahan

KOTA BAHARU 7 Januari 2015 – Polis Kelantan menahan seorang juruteknik lelaki berusia 37 tahun yang disyaki menyebarkan maklumat palsu berkaitan banjir melalui laman sosial Facebook.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, lelaki itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di Kuantan, Pahang, pada 10 pagi semalam.

“Suspek dipercayai menyebarkan maklumat palsu melalui laman sosial Facebook kononnya bekalan makanan yang dibawa sebuah badan bukan kerajaan untuk dihantar ke Kuala Krai telah disekat oleh pihak berkuasa.

“Perkara ini menjadi viral pada 27 Disember lepas dan kita telah buat laporan pada 29 Disember seterusnya menahan seorang lelaki yang juga seorang juruteknik,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Rosli Abdul Rahman.

Mazlan berkata, lelaki itu kini direman tiga hari sejak semalam bagi membantu siasatan.

Menurut Mazlan polis kini sedang menjejaki seorang lagi lelaki berusia 30-an kerana dipercayai menyebarkan maklumat palsu melalui aplikasi WhatsApp.

“Kita telah kenal pasti suspek dan akan melakukan tangkapan dalam masa terdekat…suspek dipercayai menyebarkan maklumat kononnya terdapat mayat bergelimpangan di Guchil, Kuala Krai,” katanya.

Mazlan berkata kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – BERNAMA

+++

Punyalah banyak nama pena yang baik dan indah bunyinya boleh dipilih untuk akaun sosial facebook, nama Silbi Natiays atau bila diterbalikkan ia berbunyi Iblis Syaitan juga yang dipilihnya. Ini punya orang kalau dah Iblis Syaitan nama penanya dah tentulah pengikut taksub parti ajaran syaitan.

Ada Apa Dengan Anwar Ibrahim, Bekas Menteri dan Bekas Ketua Pengarang Media Arus Perdana?

7 Januari 2015 : Penulis tertarik kepada satu laporan portal berhubung dengan pendedahan tentang “latest move” oleh Anwar Ibrahim, iaitu “membeli” bekas menteri untuk jatuhkan UMNO serta bekas pengarang media arus perdana.

Bagi penulis, ini adalah kehebatan Anwar, yang mempunyai pelbagai strategi untuk menggapai cita-cita selaku Perdana Menteri “at all cost”. Tentunya Anwar sedar, bahawa teknik dan taktik yang digunakan era PRU13 diklasifikasikan sebagai gagal. Gerakan melalui NGO dan aktivis rakyat, tidak mampu menumbangkan kerajaan pimpinan Najib Razak.  Maka, tidak hairanlah untuk dia mengorak langkah bagi pendekatan yang berbeza.

Kita masih ingat lagi, bagaimana idea 16 September mampu mengundang resah kepada lawan, apatah lagi dengan kemahirannya berpidato, sehingga mampu meyakinkan sesiapa yang mendengarnya. Laungan takbir dan reformasi bergema acapkali 16 September diucapkan. Namun, Allah jua yang berkuasa, sehingga ianya menjadi pembohongan terbesar Anwar ke atas para penyokongnya.

Pada hemat penulis, strategi terbaru Anwar ini adalah berdasarkan apa yang sedang berlaku. Umum mengetahuinya, bahawa kritikan-kritikan mantan Perdana Menteri,  Tun Mahathir tidak boleh dinafikan, menyebabkan imej Perdana Menteri Najib Razak terjejas. Oleh yang demikian, adalah tindakan bijak dari dari Anwar untuk “membeli” golongan yang dimaksudkan oleh portal berkenaan, dengan harapan ianya juga membawa impak yang sama seperti kritikan-kritikan dari Tun M.

Apatah lagi, sekiranya golongan tersebut pernah, satu ketika menjadi sebahagian dari kabinet dibawah pentadbiran Tun M. Ia adalah bonus kepada Anwar, secara tidak langsung menggunakan aura Tun untuk terus menyerang Najib Razak, yang penulis pasti, tujuan utamanya adalah untuk menggulingkan Perdana Menteri Malaysia yang ke 6 itu.

Dengan tidak menyertai Anwar dan PKR, golongan yang menjual maruah perjuangan ini dapat berselindung dan berpura-pura tidak mempunyai apa-apa pertalian dengan Anwar.

“Opportunists”; tipikal Anwar, yang semua orang faham.

Tanyalah Zahid Mat Arip, bagaimana Anwar menggunakan Tun Ghaffar dalam meraih cita-citanya at all cost? Tanyalah bekas-bekas pemimpin yang pernah dihampiri oleh Anwar. Apakah nama mereka tidak dijual dalam memburu sokongan?

Anwar tentu sudah tidak boleh menggunakan kaedah yang sama kerana Zahid Mat Arip, berjaya mendedahkan taktik itu. Taktik “tanam tebu di tepi bibir” oleh Anwar Ibrahim juga hampir reput, tanyalah Bung Mokhtar.

Dalam tersiksa bathin memikirkan apa seterusnya, senario semasa memberinya ruang dan peluang untuk dimanipulasi. Laungannya tetap sama, iaitu reformasi; yang saban hari kita tatap sambil tersenyum lucu dari laman sosial Facebook Asrul Samad, pentegar Anwar Ibrahim.

Cuma, sedang bekas menteri dan ketua pengarang media arus perdana yang telah “dibeli” (seperti dakwaan portal berkenaan) memainkan peranannya,  para pemimpin UMNO perlu ingat, bahawa taktik Anwar yang paling berkesan ialah menyusup masuk ke parti lawan, sambil parasit-parasitnya mengeluarkan toksik yang akhirnya melumpuhkan sistem saraf parti berkenaan dari dalam.

Dengan itu, tanpa perlu Anwar menjadi waima ahli parti itu sekalipun, kuasanya sangat ditakuti dan ditaati.

Tentunya Januari adalah masa terbaik untuk mula mengorak langkah dengan strategi baru untuk menggulingkan Najib Razak, dengan mengoptimakan bilangan hari terbanyak dalam satu bulan; iaitu 51 hari. Kita tunggu apa yang bakal berlaku pada 50 Januari 2015.

Disediakan oleh : EDITOR

PAS Akui Kelantan Kurang Bersedia Hadapi Banjir Besar Baru-Baru Ini

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) — PAS mengakui kerajaan negeri Kelantan pimpinan parti itu masih tidak cukup persiapan dalam menghadapi bencana banjir walaupun negeri berkenaan dilanda musibah tersebut saban tahun.

Setiuasaha Agungnya Datuk Mustafa Ali berkata, masih terdapat kelemahan dari segi persediaan menghadapi banjir terutama banjir luar biasa seperti yang melanda baru-baru ini.

“Kami akui kami memang tidak cukup persediaan, seperti sebelum ini keadaan banjir adalah normal dan kami boleh menanganinya, tetapi banjir kali ini amat luar biasa dan dengan sumber terhad, kami memang tak cukup bersedia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Pemulihan Pasca Banjir Peringkat PAS Pusat di sini hari ini.

Mustafa berkata beliau difahamkan banjir yang melanda baru-baru ini disebabkan hujan berlebihan selama empat hari yang jumlahnya sama dengan hujan selama 64 hari tanpa henti.

Bagaimanapun, katanya wujud kesedaran akhir-akhir ini dan kerajaan negeri telah membuat perbincangan dengan kerajaan pusat bagi memperkemaskan SOP (prosedur operasi standard) bagi menghadapi keadaan banjir luar biasa pada masa depan.

Sementara itu, sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengurus Tabung Khas Pemulihan Pasca Banjir bertujuan untuk mengumpul dana sumbangan daripada dalam dan luar negara.

Tujuan utama penubuhan tabung tersebut ialah untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara khususnya Kelantan.

“Kita akan kutip sebanyak yang kita mampu untuk membantu mangsa terutama di tiga daerah teruk terjejas iaitu di Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang yang mengalami ‘total lost’, hilang pendapatan dan harta benda,” kata Mustafa.

Katanya satu majlis makan malam perdana juga akan diadakan bagi mengumpul dana dan akan disalur kepada mangsa banjir. – BERNAMA

+++

Ulasan: Akhirnya ada juga pemimpin PAS yang berani mengakui kelemahan diri sendiri. Penyokong taksub PAS terutama yang gemar menyebarkan berita palsu bagi memburukkan usaha baik Kerajaan Pusat yang diterajui BN dalam membantu mangsa banjir sebelum ini tentunya sukar menerima hakikat ini.