Wednesday, January 07, 2015

Anak Kelantan Di Perantauan Pulanglah Beri Sokongan Kepada Mangsa Banjir

8 Januari 2015 : Rakyat Kelantan di perantauan disaran pulang bagi memberi sokongan moral kepada keluarga mereka yang mengalami kesan banjir.

Perunding Psikologi dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali berkata, kemurungan yang melanda mangsa banjir itu hanya boleh diubati apabila mereka merasakan ada orang sekeliling yang prihatin dengan apa yang terjadi.

“Keprihatinan ahli keluarga amat diperlukan ketika ini di samping sokongan daripada orang sekeliling untuk menggambarkan bahawa mereka tidak berseorangan menghadapi apa yang berlaku.

“Mangsa-mangsa yang terjejas ini perlu diingatkan untuk terus bersyukur kerana mereka masih diberi kesempatan untuk hidup walaupun berdepan dengan musibah besar,” katanya.

Menurutnya, mangsa banjir tidak seharusnya ditinggalkan bersendirian dan ahli keluarga diminta sentiasa berhubung dengan mereka walaupun melalui telefon.

Kelmarin, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menempatkan seramai 85 pegawai psikologi di kawasan terjejas banjir di seluruh negara bagi membantu mengurangkan trauma dialami mangsa bencana itu.

Sementara itu, Pensyarah Pengajian Sains Sosial Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugan Pandian berkata, selain ahli keluarga, sokongan itu juga perlu datang daripada pihak pentadbir dengan melakukan pemulihan segera di kawasan yang terjejas.

“Di peringkat pasca banjir, mangsa melihat banyak kemusnahan harta benda. Jadi, pihak bertanggungjawab seperti agensi yang ditugaskan untuk membersihkan kawasan atau membaik pulih kawasan terjejas perlu menyegerakan tugas itu.

“Langkah ini juga boleh membantu pulihkan emosi mangsa. Sebab itu kita perlukan sistem sokongan daripada pelbagai pihak,” katanya.

Namun katanya, individu itu sendiri juga perlu kuat untuk bangkit daripada krisis bencana yang dialami.

“Mereka yang terjejas diingat mengurus krisis ini dengan baik agar ia tidak mengundang masalah lain. Maksudnya, jika dibiarkan bergelut dengan apa yang berlaku, ia boleh memberi kesan pada persekitaran mereka dan akhirnya masa depan,” katanya.

Menurut Sivamurugan, pemulihan daripada pembangunan sekeliling adalah fokus utama ketika ini dan sekiranya proses itu berlaku dengan perlahan, ia akan memanjangkan lagi tempoh trauma mangsa. – SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment