Wednesday, January 07, 2015
Hati-Hati Sumbang Derma Untuk Elak Terpedaya
7 Januari 2015, KEMAMAN – Polis menasihatkan orang ramai agar
berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan pelbagai kutipan bantuan
kemanusiaan yang kononnya untuk didermakan kepada mangsa banjir.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, mereka yang
ingin menghulurkan bantuan harus menyemak terlebih dahulu pertubuhan
ataupun individu berkenaan bagi memastikan kesahihannya.
Beliau berkata ia juga bagi mengelak mereka menjadi mangsa penipuan
terhadap perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil
kesempatan di atas bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.
“Selepas banjir, kita lihat seperti cendawan tumbuh selepas hujan,
banyak pihak membuat kutipan dan sebagainya, namun bantuan yang kita
hulurkan itu disampaikan kepada mangsa atau sebaliknya?
“Kita puji sikap prihatin untuk membantu mangsa dengan melancarkan
bantuan dan kutipan tetapi pastikan tidak tertipu dan sumbangan yang
dihulurkan itu diterima mangsa banjir,” katanya ketika dihubungi
Bernama, hari ini.
Justeru, Jamshah berkata masyarakat yang ingin menderma perlu
menyalurkan bantuan tersebut kepada saluran yang betul seperti Tabung
Mangsa Banjir NSTP-Media Prima ataupun menerusi pejabat Setiausaha
Kerajaan Negeri.
Beliau berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan
berhubung perkara tersebut, namun akan terus memantau agar orang ramai
tidak menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab itu.
“Kita memandang serius perkara ini dan pemantauan akan dilakukan bagi mengelak orang ramai ditipu,” katanya. – Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment