Wednesday, January 07, 2015

PAS Akui Kelantan Kurang Bersedia Hadapi Banjir Besar Baru-Baru Ini

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) — PAS mengakui kerajaan negeri Kelantan pimpinan parti itu masih tidak cukup persiapan dalam menghadapi bencana banjir walaupun negeri berkenaan dilanda musibah tersebut saban tahun.

Setiuasaha Agungnya Datuk Mustafa Ali berkata, masih terdapat kelemahan dari segi persediaan menghadapi banjir terutama banjir luar biasa seperti yang melanda baru-baru ini.

“Kami akui kami memang tidak cukup persediaan, seperti sebelum ini keadaan banjir adalah normal dan kami boleh menanganinya, tetapi banjir kali ini amat luar biasa dan dengan sumber terhad, kami memang tak cukup bersedia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Pemulihan Pasca Banjir Peringkat PAS Pusat di sini hari ini.

Mustafa berkata beliau difahamkan banjir yang melanda baru-baru ini disebabkan hujan berlebihan selama empat hari yang jumlahnya sama dengan hujan selama 64 hari tanpa henti.

Bagaimanapun, katanya wujud kesedaran akhir-akhir ini dan kerajaan negeri telah membuat perbincangan dengan kerajaan pusat bagi memperkemaskan SOP (prosedur operasi standard) bagi menghadapi keadaan banjir luar biasa pada masa depan.

Sementara itu, sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengurus Tabung Khas Pemulihan Pasca Banjir bertujuan untuk mengumpul dana sumbangan daripada dalam dan luar negara.

Tujuan utama penubuhan tabung tersebut ialah untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara khususnya Kelantan.

“Kita akan kutip sebanyak yang kita mampu untuk membantu mangsa terutama di tiga daerah teruk terjejas iaitu di Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang yang mengalami ‘total lost’, hilang pendapatan dan harta benda,” kata Mustafa.

Katanya satu majlis makan malam perdana juga akan diadakan bagi mengumpul dana dan akan disalur kepada mangsa banjir. – BERNAMA

+++

Ulasan: Akhirnya ada juga pemimpin PAS yang berani mengakui kelemahan diri sendiri. Penyokong taksub PAS terutama yang gemar menyebarkan berita palsu bagi memburukkan usaha baik Kerajaan Pusat yang diterajui BN dalam membantu mangsa banjir sebelum ini tentunya sukar menerima hakikat ini.

No comments:

Post a Comment