Wednesday, January 07, 2015
Air Mengalir Ke Atas Dan Lumpur Turun Dari Langit
8 Januari 2015 : SEORANG rakan mengajak sesiapa yang mempunyai
masa untuk pergi berjalan-jalan mudik ke Hulu Sungai Aring, di Gua
Musang untuk memerhatikan wajah bukit-bukau di sekitar kawasan itu.
Kawasan tersebut merupakan sebahagian daripada laluan air hujan yang
mencurah dengan banyak di persekitaran Gunung Gagau, mengalir masuk ke
sungai Lebir, menyatu dengan sungai Nenggiri dan membentuk aliran Sungai
Kelantan.
Begitu luas kawasan yang ditarah dan bila banyak hujan mencurah dalam
tempoh tiga hari sahaja, bersamaan lebih dua bulan kadar taburan hujan,
boleh disedari apa yang berlaku. Banjir lumpur.
Tanpa pokok-pokok sebagai benteng dan akar yang menyerap, air akan
menghakis tanah-tanah tinggi, turun dengan deras membawa lumpur melalui
laluan yang tidak cukup besar dan diburukkan lagi dengan fenomena air
pasang besar dan laut bergelora ketika itu.
Baginya, bukanlah suatu yang menghairankan apabila bencana seburuk
Disember lalu akhirnya berlaku dengan begitu banyak lumpur yang mengalir
ke Sungai Kelantan dan melimpahkan amarah alam dan ‘lumpur tidak turun
dari langit’.
Pimpinan politik di Kelantan menafikan pembalakan dan kemusahan alam
di kawasan Hulu Kelantan sebagai punca yang memburukkan keadaan, namun
tidak pula menafikan cerita-cerita yang diratib bersama kalangan rakyat
negeri itu, kononnya Empangan Kenyir Kedua menjadi punca.
Seolah-olah segala resah dan kepayahan yang dilalui rakyat dan sukar
dibantunya itu mahu dibendung agar tidak menjejaskan reputasi politik
parti dengan `mengalirkannya’ semula kepada empangan itu.
Namun ramai yang masih percaya dan mereka nampaknya berjaya walaupun
penafian dibuat oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana mereka
juga berjaya menyogok fahaman untuk berprasangka dengan setiap laporan
media arus perdana.
Walhal kita tidak perlu terlalu bijak untuk mudah percaya kerana air
tidak akan mengalir ke atas, mendaki ke kawasan tinggi untuk membanjiri
Kelantan bagi menyelamatkan Terengganu daripada tengggelam.
Projek Kenyir Dua di Tembat jauh lebih rendah dari tanah tinggi
Banjaran Titiwangsa yang menjadi pemisah dua buah negeri berjiran itu.
Takungan air sungai Tembat akan disalurkan melalui terowong ke Tasik
Puah yang di bawahnya dan kemudiannya menurun ke Tasik Kenyir.
Garis ketinggian topografi sekitar banjaran yang menjadi sempadan
kedua-dua negeri sekitar 800 hingga 1,000 meter, justeru di mana
rasionalnya air Sungai Tembat mampu untuk mendaki setinggi 200 hingga
400 meter bagi mencurah tadahan air dari negeri Terengganu ke Kelantan?
Bencana ini bukan sahaja ujian kepada rakyat tetapi juga kepada
mana-mana kerajaan dan dan pemimpin namun selain berdoa, kita perlu
berusaha menanganinya dengan mengambil iktibar daripada bebanan,
kesengsaraan dan kerugian besar yang ditanggung.
Disember akan tetap datang lagi, mungkin sekali lagi dengan langit yang lebih mencuka. Ini ketikanya untuk bersama.
Janganlah lagi kedengaran mendoakan kemusnahan terhadap bangsa
seagama yang kian lemah kerana mungkin ini permulaan kepada makbulnya
doa mereka itu. – UTUSAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment