Wednesday, August 10, 2011

Pertukaran Saham MAS – Air Asia Satu Perkongsian Strategik


Khazanah Nasional membuat keputusan perniagaan penting kepada Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) apabila mengambil keputusan menawarkan 20.5% saham miliknya dalam MAS kepada Tune Air, pemegang saham terbesar Air Asia Berhad. Sebagai balasannya, Khazanah diberi 10% saham milik Tune Air dalam Air Asia Berhad. Untuk rekod Air Asia merupakan antara syarikat penerbangan tambang murah terbesar di dunia.


Menurut kerjasama yang diumumkan semalam, MAS telah melantik CEO Air Asia Tony Fernandez dan pemegang utama saham Tune Air, Kamaruddin Meranum sebagai Non-Independent Non-Executive Directors dalam Lembaga Pengarah MAS yang baru. Manakala Air Asia Berhad melantik wakil Khazanah, Datuk Mohamad Azman Yahya sebagai Pengarah “Non-Independent Non-Executive” dalam Lembaga Pengarahnya.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar, pertukaran saham ini merupakan satu kerjasama perniagaan yang perlu dan dalam keadaan “situasi menang-menang” antara Khazanah dan MAS dengan Air Asia.


Persaingan dan permusuhan keterlaluan antara MAS dan Air Asia tidak menguntungkan industri penerbangan negara. Ketika MAS dan Air Asia boleh bekerjasama melalui perkongsian laluan dan kepakaran. Sebagai contoh, jika sekarang ini Air Asia menghantar kapal terbangnya untuk diselenggara di Singapura kerana permusuhan dua syarikat ini, pada masa akan datang Air Asia akan menggunakan kepakaran penyelenggaraan MAS di Subang sebagai tempat penyelenggaraan kapal terbangnya.


Khazanah juga berharap melalui kerjasama ini, MAS dan Air Asia akan menjadi rakan sekutu yang saling bekerjasama bagi menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hub antarabangsa yang kembali sibuk setelah agak ketinggalan dengan Singapura dan Thailand.


Tan Sri Azman ketika ditanya oleh MYKMU.Net mengakui bahawa pertukaran saham tersebut berasaskan nilai pasaran dan bukannya nilai aset bersih (net asset value) . Namun beliau memberi jaminan bahawa Khazanah telah menjalankan kajian rapi dan “due deligence” ketika bersetuju degan pertukaran tersebut dan menyatakan ia merupakan pertukaran yang adil berdasarkan kedudukan kewangn kedua-dua syarikat.


Ketika Air Asia memerlukan Khazanah Nasional sebagai pemegang sahamnya bagi mengukuh kedudukan syarikat tersebut dalam industri, MAS pula dilihat memerlukan Air Asia bagi berkongsi pengalaman dan strategi bagi memulihkan semula syarikat tersebut. Melalui penukaran saham ini juga MAS dapat menghalang Air Asia daripada terus bersaing secara langsung dengannya di laluan-laluan antarabangsa.


Ini diakui oleh Tan Sri Azman bahawa MAS akan menumpukan kepada penerbangan yang menawarkan kualiti tinggi seperti sekarang bagi bersaing dengan syarikat-syarikat penerbangan utama dunia seperti Emirates. Manakala Air Asia akan meneruskan strategi mereka menguasai penerbangan bajet rendah atau tambang murah di rantau ini.


Dengan kerjasama ini Air Asia boleh menumpukan usaha mengekalkan kedudukan sebagai sistem penerbangan bajet rendah yang utama di rantau ini yang ketika ini kedudukan Air Asia sedang dicabar oleh Lion Air dan Tiger Airways. Selain itu, Air Asia dan MAS juga dijangka boleh mengurangkan kos penyelenggaraan pesawat dan penyediaan makanan.


Tan Sri Azman juga memberi jaminan perkhidmatan Firefly akan diteruskan kerana ia menawarkan satu segmen penerbangan yang lain berbanding MAS dan Air Asia.


“Adalah tidak masuk akal untuk menutup sebuah penerbangan yang menguntungkan hanya kerana terdapat kerjasama antara MAS dan Air Asia. Lagipun Firefly mempunyai segmen tersendiri dan tidak mencabar perniagaan Air Asia.”


Dipetik daripada : www. mkmu.net

No comments:

Post a Comment