KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menarik balik anugerah darjah kebesaran yang dikurniakan kepada empat individu termasuk dua orang kerabat diraja dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkuat kuasa semalam.
Tindakan tersebut dilakukan selepas baginda melucutkan gelaran Temenggong daripada adinda baginda, Tengku Muhammad Fakhry Petra pada hujung bulan lepas.
Baginda turut menarik balik semua darjah kebesaran termasuk Seri Paduka Setia Mahkota Kelantan (SPSK) yang dianugerahkan kepada bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud dan Darjah Jiwa Mahkota Kelantan (DJMK) yang membawa gelaran Datuk Paduka daripada Ibrahim.
Penarikan balik bintang dan darjah kebesaran tersebut diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Aiseri Alias pada satu sidang media di pejabatnya di sini semalam.
Menurut Mohd. Aiseri, dua orang kerabat terbabit ialah Tengku Mohamed Shafiei Tengku Ibrahim, 65, dan Tengku Abu Bakar Tengku Mansor, 45, yang merupakan pegawai keselamatan di Istana Kelantan.
Beliau berkata, penarikan balik anugerah bintang Seri Mahkota Kelantan (SMK) daripada Tengku Mohamed Shafiei berkuat kuasa semalam manakala, penarikan balik anugerah Pingat Bakti (PB) dan Jaksa Pendamai (JP) daripada Tengku Abu Bakar pula berkuat kuasa 30 September lalu.
Oleh : KPMU.net
No comments:
Post a Comment